Teliti RUU PSB: Johari Ghani sedia pikul amanah

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan kesediaannya memikul amanah untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi mengkaji penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, tugas tersebut akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan pelaksanaan Akta PSB kelak tidak mengulangi kegagalan projek pembangunan semula sebelum ini di ibu negara.

“Kita mahu pelaksanaan RUU PSB tidak menerima nasib sama seperti Flat Bandar Tun Razak dan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur, sudah 15 tahun tapi penduduk belum memperoleh hak milikan unit mereka.

“Kuala Lumpur tidak mempunyai tanah, jadi banyak perkara yang perlu diteliti daripada segi akta,” kata Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Intervensi ASEAN Mengenai Kanak-Kanak dan Belia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), hari ini.

Dalam masa sama, Johari turut mengingatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pengalaman lampau tidak boleh diambil mudah oleh pemaju.

Mengambil contoh Flat Bandar Tun Razak, beliau menjelaskan bahawa kes itu jelas membuktikan kelemahan apabila penduduk dipindahkan ke Flat Desa Rejang dan seterusnya ke perumahan DBKL, namun selepas lebih 15 tahun, masalah tersebut masih gagal diselesaikan.

“Perkara sama berlaku di Kampung Sungai Baru apabila lapan tahun selepas penduduk dipindahkan, penempatan baharu masih gagal direalisasikan sehingga menimbulkan kesesakan kerana tiada pihak mengawal.

“Kita perlukan situasi menang-menang, kerajaan dapat bangunkan kawasan, manakala rakyat tidak tertekan,” ujarnya.

Namun, katanya, masih terlalu awal untuk beliau mengulas terperinci kerana perlu lebih banyak maklum balas daripada pihak berkepentingan, termasuk penduduk terjejas.

“Ini kerana, 139 kawasan yang dirancang pembangunan semula itu ada pelbagai isu, kerana sebahagiannya dihuni golongan M40, sebahagian lagi B40 yang perlukan kajian lebih teliti,” kata Johari lagi.

BACA JUGA 76,002 kandungan sudah dipadam, mungkinkah TikTok akan disekat?