100,000 unit rumah tidak terjual? Berita palsu

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menafikan laporan berita bahawa terdapat 100,000 unit rumah di pasaran yang masih tidak terjual kerana ia tidak memberi gambaran sebenar sektor tersebut yang stabil.

Angka tersebut termasuk rumah yang siap dibina, rumah yang sedang dibina dan rumah yang telah diluluskan tetapi belum dibina.

Perangkaan asal dari Pusat Maklumat Hartanah Kebangsaan (Napic) menunjukkan trend rumah siap yang belum dijual berkurangan sejak 2022.

“Statistik rasmi menunjukkan terdapat 35,592 unit dalam tahun 2022, 26872 unit dalam tahun 2023, 24,208 unit dalam tahun 2024 dan 23,515 unit pada tahun ini.

“Ini menunjukkan pasaran perumahan kebangsaan stabil dan terkawal manakala usaha kerajaan mengukuhkan dasar perumahan dan mengimbangi permintaan telah memberi kesan positif,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

KPKT juga bekerjasama dengan Napic dalam pelaporan data perumahan dan mengukuhkan lagi kerjasama strategik dengan pelaksanaan inisiatif Satu Data Satu Negara.

Di bawah inisiatif ini kaedah satu kemasukan data digunakan untuk sistem pengurusan bersepadu perumahan yang dibangunkan oleh jabatan perumahan kebangsaan.