AMANAH intai lima kerusi PRN Sabah, rundingan masih berjalan
AMANAH menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, rundingan masih berjalan bersama rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP, PKR, GRS dan BN sebelum dimuktamadkan.
Bagaimanapun katanya, AMANAH optimis untuk memenangi satu kerusi sekiranya tidak mencapai sasaran penuh
“Sebagai parti kecil, kita sasarkan lima kerusi. Kalau pun tidak dapat lima, kurang-kurangnya satu kerusi itu kita inginkan kemenangan.
“Ia bergantung kepada kesepakatan antara PH sendiri dengan sokongan yang diberi dan rundingan peringkat kedua dengan BN.
“Kita juga tak boleh elak kemungkinan tiga penjuru, tapi kita cuba maksimakan sebaik mungkin rundingan supaya sekurang-kurangnya kita dapat lima kerusi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan, hari ini.
Sementara itu beliau berkata, Khalid Samad dilantik sebagai wakil rundingan bagi pihak parti itu, manakala di Sabah, jawatan Pengarah Pilihan Raya Negeri disandang Mujahid sendiri dengan operasi diselia Datuk Lahirul Latigu serta Biro Pilihan Raya Pusat dipengerusikan Sany Hamzan.
Katanya, persiapan jentera di Sabah sudah digerakkan dengan beberapa siri program termasuk majlis hi-tea pada 30 Ogos lalu, selain membantu calon daripada DAP, PKR, GRS dan BN.
“Apa yang lebih penting bagi kita, PRN Sabah bukan semata-mata soal politik, tetapi bagaimana memastikan rakyat diberi peluang membuat pilihan terbaik serta mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan,” katanya.
BACA JUGA Degil naikkan iklan tanpa permit, Datuk Bandar PJ turunkan sendiri papan iklan haram