Papagomo jangan dabik dada, kes belum berakhir – AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris bahawa keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan menghasut bukan satu kemenangan mutlak.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin dalam satu kenyataan berkata, Papagomo masih perlu berdepan dengan proses undang-undang seterusnya kerana Jabatan Peguam Negara telah pun mengemukakan Notis Rayuan bagi membatalkan keputusan tersebut.

“Jangan bermimpi untuk mendabik dada seolah-olah dirinya telah suci bersih, kerana perjalanan kes ini masih belum selesai,” ujarnya

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Papagomo daripada pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948, sambil menegaskan bahawa kes itu masih belum berakhir.

Mengulas dakwaan Papagomo bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pro-Israel, Danish menyifatkan ia fitnah jahat yang bercanggah dengan fakta.

Ini kerana katanya, fakta membuktikan bahawa Perdana Menteri adalah antara pemimpin dunia yang paling lantang menentang Israel di pentas antarabangsa.

“Malaysia di bawah kepimpinan beliau konsisten menyuarakan isu Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), malah Anwar juga secara terbuka mengkritik kekejaman Israel melalui media antarabangsa.

“Kerajaan Perpaduan turut menyalurkan ratusan juta ringgit bantuan kemanusiaan untuk Palestin. Inilah bukti jelas bahawa kerajaan tidak pernah tunduk kepada Israel, jauh sekali menjadi proksi Zionis,” ujarnya tegas.

Beliau pada masa sama menyifatkan Papagomo sebagai seorang pengecut politik yang hidup atas fitnah dan pembohongan.

Katanya, penyokong pro pembangkang itu tidak peduli pada darah yang tumpah di bumi Palestin, sebaliknya hanya peduli pada modal politik murahan untuk memuaskan nafsu kerakusan kuasa.

BACA JUGA Buat ceramah berunsur hasutan, polis tahan Chegu Bard