Abdul Hadi, Tuan Ibrahim kekal terajui parti gambaran kelemahan Pas?

Penganalisis politik berpendapat ketiadaan pertandingan di peringkat tertinggi Pas menimbulkan persoalan sama ada benar-benar mencerminkan kekuatan parti atau kekurangan keyakinan dalam kalangan ahli untuk mencabar kepimpinan sedia ada.

Bekas Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM), Universiti Utara Malaysia, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, di satu sisi, ia menunjukkan bahawa kepimpinan sedia ada berjaya mengekalkan sokongan yang kuat dari akar umbi parti.

“Mungkin juga ada persefahaman dalaman bahawa perpecahan atau persaingan sengit di peringkat tertinggi boleh merugikan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” dipetik BH.

Abdul Hadi (kiri) dan Tuan Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, di sisi lain, ketiadaan pertandingan juga boleh dilihat sebagai satu bentuk kelemahan.

Menurutnya, keadaan itu mungkin menggambarkan bahawa ahli-ahli yang berpotensi untuk mencabar kepimpinan sedia ada tidak yakin dengan peluang mereka untuk menang.

Selain itu, jelasnya, mungkin juga terdapat faktor lain seperti kurangnya sumber atau sokongan yang diperlukan untuk melancarkan kempen yang berkesan.

Ahmad Zaharuddin menjelaskan bahawa kepimpinan yang tidak dicabar boleh menjadi statik dan kurang responsif terhadap perubahan dalam konteks politik yang dinamik.

Pada 4 September lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan kedudukannya untuk terus menerajui parti utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) itu selepas menang tanpa bertanding pada Muktamar Pas Ke-71.

Ahli Parlimen Marang berusia 77 tahun itu mempertahankan jawatan Presiden disandangnya sejak 2002, selepas pemergian Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengekalkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden parti selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan sama.

Tuan Ibrahim, 65, mula dilantik sebagai Timbalan Presiden Pas sejak 2015, selepas menewaskan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam pemilihan parti ketika Muktamar Pas ke-61 di Kuala Selangor.

BACA JUGA ‘Raja ganja’ Thailand angkat sumpah sebagai Perdana Menteri