Nak PM Anwar turun, akhirnya ahli Bersatu pekik “turun Tan Sri”

Dua bulan lalu Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan pemimpin pembangkang lain mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan Perdana Menteri.

Namun, malam tadi Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam kecoh dengan pekikan “turun Tan Sri”.

Laungan itu berselang-seli dengan “hidup Tan Sri” semasa Mahiaddin menyampaikan Ucapan Dasar Presiden mengakibatkan sesi tersebut tertangguh selama beberapa minit.

Kekecohan dilaporkan mula tercetus di ruangan tengah dewan apabila beberapa perwakilan parti tidak berpuas hati, ketika Mahiaddin menyentuh mengenai tindakan pihak yang mengutip tandatangan untuk menjatuhkan beliau.

Dalam ucapannya itu, Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut memberi peringatan kepada Bersatu untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan parti politik lain.

Ketika itulah, beberapa ahli parti secara tiba-tiba bangkit menggesa Mahiaddin berundur sambil melaungkan kata-kata “turun Tan Sri”.

Keadaan bertambah kecoh apabila beberapa individu lain bangkit membalas dengan laungan “hidup Tan Sri”.

Susulan itu, pasukan keselamatan parti bertindak untuk menenangkan keadaan sebelum Mahiaddin meneruskan ucapannya.

BACA JUGA Ini sebabnya RUU PSB boleh dianggap paling baik untuk jamin masa depan bandar