PRN Sabah: AMANAH mohon lima kerusi DUN
AMANAH memohon kepada Pakatan Harapan (PH) agar diberi peluang bertanding lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, permohonan itu dibuat setelah melakukan perbincangan dengan kepimpinan PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Buat masa ini, AMANAH mohon lima kerusi, namun jumlah muktamad (berapa yang AMANAH bertanding) akan diputuskan selepas rundingan terakhir bersama rakan-rakan dalam PH, BN dan juga GRS,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Amanah Selangor di The Midlands Convention Centre, Seksyen 7, di Shah Alam hari ini.
Diyakini rakyat
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, pemilihan calon adalah berdasarkan faktor ‘winnable candidate’ yang bukan sahaja diterima akar umbi, malah diyakini rakyat.
“Dalam konteks Sabah, kita pastikan calon yang diketengahkan adalah anak tempatan kerana itu menjadi keutamaan kami,” katanya.
Sebelum ini, AMANAH menyasarkan empat kerusi DUN untuk ditandingi pada PRN Sabah.
Pada 17 Mei lalu, Pengarah Pilihan Raya Nasional AMANAH, Mohd. Sany Hamzan dilapor berkata, empat kerusi terbabit ialah Tanjung Aru, Karambunai, Lumadan dan Sulabayan, masing-masing dalam Parlimen Putatan, Sepanggar, Sipitang dan Semporna.
Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah dijangka berlangsung akhir tahun ini dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 November ini.
BN tetap dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan GRS manakala Parti Warisan (Warisan) pula memutuskan bergerak solo.
Perkembangan tersebut sekaligus menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya empat penjuru bakal berlaku di kebanyakan DUN.
BACA JUGA Empat perkara ini berlaku serentak, Global Sumud Flotilla pecah kebuntuan