Ini sebabnya Fattah Amin, Amira pilih 14 September

Selepas sekian lama ‘direstui’ ramai peminat mereka, akhirnya Fattah Amin dan Amira Othman, 32, mengesahkan akan bernikah, 14 September ini.

Pasangan selebriti berkenaan berkongsi berita menggembirakan orang ramai itu pada sidang media single duet terbaharu Rasa & Takdir nyanyian Amira dan adiknya, Irfan Haris.

Dalam sidang media di Hotel Imperial Lexis, hari ini, pengumuman Fattah itu disambut tepukan gemuruh jemputan.

Lebih menarik apabila tarikh pernikahan mereka sempena hari kelahiran Fattah yang ke-35.

Sebelum ini, keserasian Fattah dan Amira kerap diperkatakan orang ramai di media sosial dengan rata-rata ‘merestui’ jika pasangan berkenaan ke jinjang pelamin.

Antara kemunculan mereka yang mencuri perhatian apabila tampil berpakaian sedondon warna merah ‘burgundy’ (gambar atas) pada majlis pengumuman Duta Jakel 2025, Januari lalu.

Amira yang juga pelantun lagu ‘Bila Nak Kahwin?’ sering dipadankan dengan Fattah selepas aktor berkenaan bercerai dengan bekas isteri yang juga pelakon, Nur Fazura pada 7 Oktober 2024.

BACA JUGA Skandal projek Lebuhraya MEX II: Isteri Tan Sri Abu Sahid didakwa terima RM67 juta dana haram