Berpecah dalam Bersatu
OLEH: LIEW CHIN TONG
Menjelang pilihan raya negeri Sabah tahun ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjanji untuk memulangkan 40% hasil cukai Sabah jika Bersatu dan gabungan Perikatan Nasional kembali menjadi kerajaan. Namun, warga Sabah meragui janji itu kerana menyedari beliau tidak pernah berbuat apa-apa tentang cukai tersebut apabila menjadi Perdana Menteri Kerajaan Langkah Sheraton selama 17 bulan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.
Nampaknya Muhyiddin semakin tertekan. Walaupun perhimpunan agung tahunan Bersatu telah mencalonkannya sebagai Perdana Menteri jika PN menang dalam pilihan raya umum akan datang, cabaran yang sedang dan bakal dihadapinya semakin besar.
Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu di Shah Alam Sabtu lalu, sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya, Muhyiddin menyebut tentang komplot mengutip tandatangan untuk menjatuhkan beliau sebagai presiden parti. Tegas amarannya kepada mereka, “…hentikanlah adu domba. Elakkanlah sengketa sesama kita, buang segala sikap buruk yang melemahkan kita”. Di kala itu, keadaan menjadi kecoh apabila beberapa ahli parti di dalam dewan persidangan berteriak “turun Tan Sri!”.
Bersatu dilanda masalah dalaman. Ini tidak mengejutkan kerana kepimpinannya yang dibina atas Langkah Sheraton merupakan kumpulan daripada latar belakang berbeza yang saling mencurigai sesama sendiri serta tidak mempunyai prinsip dan agenda yang jelas – Muhyiddin selaku pengasas bersama Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin daripada UMNO yang melompat masuk Bersatu setelah partinya tumbang dalam pilihan raya umum 2018, dan Dato’ Seri Azmin Ali yang dilihat sebagai pengkhianat PKR.
Langkah Sheraton adalah rampasan kuasa politik yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada awal 2020 oleh gabungan serpihan UMNO (Hamzah), PKR (Azmin), dan Bersatu (apabila Muhyiddin menyingkirkan keluar kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad). Setelah pilihan raya umum 2022, UMNO dan PKR berjaya memulihkan kekuatan masing-masing daripada perpecahan disebabkan Langkah Sheraton, dan secara tidak langsung, keadaan ini menyebabkan ruang untuk Bersatu bergerak semakin sempit.
Pandangan saya terhadap Pembangkang masih sama. Saya telah menyatakan bahawa PN sudahpun mencapai tahap kemuncaknya, iaitu PAS kekal popular di kubu-kubu Melayunya tetapi Bersatu semakin hilang pengaruhnya, dan tidak banyak yang telah mereka lakukan untuk menarik sokongan tambahan.
Saya memerhatikan bahawa ada tiga kesilapan besar yang Muhyiddin lakukan sewaktu menyampaikan ucapannya dasarnya pada perhimpunan Bersatu.
Pertama, mendedahkan kedudukannya yang tidak stabil merupakan sesuatu yang kurang cerdik. Mengapa perlu beliau bangkitkan isu tentang usaha ahli-ahli Bersatu sendiri yang mahu menjatuhkannya jika dia sendiri menganggapnya sebagai “perkara kecil”, seperti yang dijelaskannya kepada wartawan berhubung kekecohan pada malam persidangan itu? Malah, beliau menggunakan istilah “batu api” untuk menggambarkan kumpulan yang mendesaknya berundur, dan kata-kata itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan perwakilan parti.
Malah, kata-katanya juga bercanggah – dari satu sudut, beliau mendakwa Bersatu kukuh dan bersatu padu, tetapi dari sudut lain, mengakui ada perpecahan dalam parti apabila mendedahkan tentang komplot tersebut. Lebih ironis lagi, beliau mengingatkan semua pihak bahawa beliau dipilih secara demokratik tahun lalu untuk tempoh selama tiga tahun, dan sebarang perubahan perlu mengikut perlembagaan parti – sedangkan beliaulah pendokong utama rampasan kuasa Langkah Sheraton.
Kedua, walaupun Muhyiddin cuba sedaya-upaya menampilkan imej wira untuk Bersatu, kata-kata dan ucapannya hanya mencerminkan matlamat peribadinya yang satu – untuk kekal sebagai Presiden Bersatu selama-lamanya bagi membolehkannya kembali menjadi Perdana Menteri. Dan di sinilah timbulnya masalah besar kerana Hamzah, Azmin, dan lebih penting lagi PAS, sedar bahawa Muhyiddin lemah dari segi karisma, kekuatan, dan masa, dan semua ini menjadi ancaman kepada jangka hayat Bersatu serta faktor mampu-menang PN dalam pilihan raya umum akan datang.
Pada masa yang sama, Hamzah dan Azmin masih berseteru. Jika kita ingat kembali, Langkah Sheraton berlaku kerana Muhyiddin bertelagah dengan Dr Mahathir dalam Bersatu manakala Azmin bermasalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PKR. Entah apa formula baharu atau langkah politik yang ada dalam minda Azmin apabila beliau mahu menawarkan diri sebagai pengganti Muhyiddin sedangkan masih bersaing dengan Hamzah, dan bagaimana pula untuk mengangkat dirinya sebagai alternatif kepada Anwar selaku Perdana Menteri.
Ketiga, dengan apa yang sedang berlaku, nampaknya Presiden Bersatu telah salah membaca situasi politik semasa. Sepatutnya Muhyiddin menyedari kedudukannya yang semakin tidak popular, sebaliknya dia tidak mempedulikan realiti tersebut, dan terus mahu kekal sebagai pemimpin tertinggi parti dengan apa cara sekalipun.
Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, dengan wujudnya masalah serampang dua mata PN – perpecahan dalam Bersatu dan PAS yang masih terperangkap dalam dogma politik era 1982 (zaman kafir-mengkafir) – para pengundi di Malaysia mendapati sukar untuk memilih pembangkang yang berpecah belah. Walaupun PN berterusan membakar sentimen isu-isu Melayu, tidak semua orang Melayu selesa dengan permainan politik mereka. Pada masa yang sama, para pengundi Sabah dan Sarawak terus menjauhkan diri daripada PN yang dilihat sebagai jaguh untuk orang Melayu sahaja.
Kekecohan pada persidangan Bersatu itu merupakan petanda kepada krisis yang lebih besar dalam parti tersebut. Dan Bersatu yang berpecah belah akan menjejaskan prestasi PN, tak kira popular mana sekalipun PAS dalam kalangan sesetengah pengundi Melayu.
Namun, walaupun PN dilanda krisis, ini tidak bermakna Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bersama rakan-rakan gabungan di Sabah dan Sarawak boleh duduk goyang kaki sahaja. Banyak usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar, tetapi ia belum mencukupi kerana banyak lagi yang perlu dilakukan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
LIEW CHIN TONG ialah Pengarah Strategi DAP dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.