Bersatu umum calon Perdana Menteri, ini respon Pas
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menegur Bersatu agar tidak terlalu ghairah bersendirian dalam membuat keputusan politik di atas nama Perikatan Nasional terutamanya dalam menamakan calon perdana menteri untuk PN.
“Contohnya, memutuskan atau menamakan calon perdana menteri dari PN secara sendiri tanpa persetujuan komponen lain.
“Begitu juga dalam percaturan kerusi di DUN Sabah dengan menamakan seseorang sebagai calon ketua menteri.
“Pandangan saya Bersatu jangan jadi ghairah seorang diri,” kata Sanusi, lapor FMT.
Beliau berkata demikian susulan tindakan setiausaha agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali yang telah mendapatkan sokongan dan meluluskan usul agar presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan calon perdana Menteri ke-11.
Isu calon perdana menteri seringkali menjadi duri dalam daging dalam hubungan komponen PN terutamanya di antara Pas dan Bersatu.
Mursyidul Am Pas Hashim Jasin telah menafikan Muhyiddin sebagai calon PM PN seawal November tahun lalu.
Pada bulan Julai lalu, Hashim berkata PN hanya akan memutuskan calon selepas mengambil alih kerajaan persekutuan.
Komponen PN lain seperti Gerakan dan MIPP pula menyokong pencalonan Muhyiddin.
Berhubung calon ketua menteri Sabah pula, Muhyiddin dilaporkan berkata bahawa beliau tidak menolak kemungkinan naib presiden Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai calon.
BACA JUGA: RUU Anti Buli akan dibentang pada bulan hadapan