Pengarah Maju Holdings berdepan tuduhan pecah amanah, ubah wang haram RM452 juta

Tokoh korporat dan pengarah Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed telah didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Beliau berdepan sejumlah 17 tuduhan yang berkaitan cadangan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA bagi pihak Maju Holdings Sdn Bhd.

Abu Sahid berdepan empat tuduhan pecah amanah wang berjumlah RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139 juta.

Kesemuanya bernilai RM452 juta.

Abu Sahid yang berkerusi roda mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas semua tuduhan di depan Hakim Suzana Hussin.

“Faham… tidak mengaku salah,” katanya setiap kali selepas pertuduhan berkenaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Maju Holdings adalah pemegang konsesi Maju Expressway (MEX) yang mengendalikan pembinaan dan operasi Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya – KLIA.

Bagi kesemua empat pertuduhan pecah amanah, Abu Sahid didakwa sebagai ejen iaitu Pengarah Maju Holdings, melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan wang sebanyak RM1.5 juta. Pasportnya turut diserahkan kepada mahkamah

Isteri pun didakwa kerana mengubah wang haram

Isteri beliau Toh Puan Noor Azrina Azmi didakwa atas tuduhan mengubah wang haram lebih daripada RM60 juta.

Noor Azrina, 48 telah mengaku tidak bersalah di hadapan hakim mahkamah sesyen Rosli Ahmad.

Beliau berdepan tuduhan menerima hasil wang daripada aktiviti haram berjumlah RM67,136,588.43 di dalam akaun banknya dari akaun suaminya.

Kesalahan ini dilakukan di antara 6 Mac 2017 dan 27 Nov 2017 di CIMB cawangan Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Tuduhan dibacakan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mahkamah membenarkan ikat jamin dengan wang RM500,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan kes seterusnya ialah pada 3 November.

BACA JUGA: Inkues kematian Zara: 21 beg bukti kes polis, saksi kedua beri keterangan