RUU Anti Buli akan dibentang pada bulan hadapan
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan bahawa RUU Tribunal Anti buli akan dibentangkan di Parlimen semasa sesi parlimen bulan hadapan.
“Atas persetujuan beberapa menteri terlibat secara langsung dan tidak langsung seperti menteri pendidikan, menteri pendidikan tinggi, menteri pertahanan, menteri komunikasi, kita harap bulan ini boleh selesaikan jerayawara.
“Kita harap dapat keputusan Kabinet pada hujung September atau awal Oktober supaya RUU ini boleh dibawa ke persidangan Parlimen pada Oktober ini,” katanya pada sidang media Konvensyen Bantuan Guaman Kanak-kanak Peringkat Asean 2025 di Pusat Persidangan Desaru Coast semalam.
Ini bermakna ia adalah enam bulan lebih awal daripada tempoh yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Azalina berkata kerajaan mahu mendapatkan pandangan rakyat berkenaan penubuhan tribunal anti buli yang akan mempercepatkan pendengaran kes.
“Tribunal ini lebih luas kuasanya…boleh lihat semua inti pati dan ada juga mungkin dalam elemen tribunal itu boleh tengok kepada aspek ganti rugi seperti membayar denda.
“Kemungkinan, kita nak ukur dalam aspek hukuman itu tidak semestinya penjara, mungkin kena bayar denda, mungkin kena pergi kursus…jadi, aspek lebih luas dan kepentingan tribunal kalau dipersetujui kerajaan ialah (prosesnya) cepat.”
Menurutnya, sebuah portal khas akan dilancarkan bagi mendapatkan pandangan masyarakat, selain sesi libat urus bersama badan profesional termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak, Majlis Peguam, bar negeri, pertubuhan antarabangsa serta pakar berkaitan.
Tegasnya, tribunal itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya turut memberi ruang kepada proses rehabilitasi buat mangsa dan pelaku melalui pendekatan keadilan restoratif.
“Kalau kita ada sistem tribunal yang cepat, orang nak melakukan (perkara) itu dia kena fikir banyak kali sebab dia tahu cepat. Itulah sebab kes gangguan seksual, saya tengok kesannya menerusi tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual itu respons sangat positif sebab (prosesnya) cepat.”
BACA JUGA: Ini sebabnya AMANAH sokong cadangan Tribunal Anti Buli