120 akuan bersumpah dalam Bersatu bukan menolak Muhyiddin?
Selepas perhimpunan agung tahunan Bersatu bergegar dengan 120 akuan bersumpah yang menolak kepimpinan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin kini ada yang pusing cerita dan mendakwa sebaliknya.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Zainol Fadzi Paharudin mendakwa akuan bersumpah tersebut bertujuan untuk menunjukkan sokongan kepada Muhyiddin.
Zainol turut menolak dakwaan wujud komplot untuk menolak Muhyiddin
“Secara kebetulan, ketika satu mesyuarat, ada kenyataan dibuat berkenaan 120 ketua bahagian yang menghadiri majlis makan tengah hari dengan presiden,” kata Zainol dalam satu sidang media.
“Mungkin ada kesilapan berkenaan akuan bersumpah.
“Setahu saya, akuan bersumpah tersebut untuk menyokong presiden, bukan untuk menjatuhkannya.
Dakwaan bahawa 120 akuan bersumpah ditandatangani untuk menjatuhkannya adalah tidak benar. Tiada muslihat atau usaha menjatuhkan presiden,” katanya lagi, lapor The Star.
Beliau menambah adalah lumrah dalam politik kepartian untuk memberikan sokongan kepada pihak tertentu secara terpilih.
Zainol berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa beliau terlibat mendapatkan tandatangan 120 pemimpin Bersatu.
Perhimpunan agung tahunan Bersatu pada Sept 6 menyaksikan pimpinan akar umbi melaungkan mesej agar Muhyiddin berundur daripada tampuk kepimpinan parti.