AMK buat laporan polis berhubung ugutan jenayah terhadap PM, keluarga

FOTO BERITA: Laporan polis oleh Angjatan Muda KEADILAN Terkait Ugutan Jenayah dan Ancaman Keselamatan kepada YAB Perdana Mentara dan Keluarga di PD Shah Alam. Selangor. Tarikh: 8 September 2025 (Isnin)

SHAH ALAM, 9 Sept – Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didakwa menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, dakwaan palsu dan ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial.

Ketua Biro Guaman AMK, Khairul Naim Rafidi, berkata tindakan pihaknya itu sebagai langkah mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didakwa terlibat menyebarkan ugutan dan kenyataan berunsur hasutan di media sosial. “Ancaman terhadap keselamatan seorang Perdana Menteri dan keluarganya bukan isu kecil. Ia adalah kesalahan serius yang perlu diambil tindakan segera, bagi memastikan mesej jelas kepada masyarakat agar tidak menyalahgunakan media sosial,” tegas beliau.

Menurutnya, siasatan boleh dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam sidang media itu juga, AMK menegaskan bahawa isu keselamatan pemimpin negara melibatkan kepentingan awam dan wajar diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian lebih serius.

Sementara itu, Ketua Biro Mobilisasi Pemuda PKR, Bariqul Zaman, menegaskan walaupun polis telah menahan individu yang terlibat, siasatan menyeluruh masih perlu diteruskan bagi memastikan pihak berkenaan dikenakan hukuman sewajarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pemuda PKR Selangor, Shahrul Adnan, turut membuat laporan polis di IPD sama berhubung tuduhan palsu kononnya kerajaan Selangor menyerahkan tanah kepada sekolah aliran Cina serta membuat pengiktirafan baharu terhadap sijil tertentu.

Difahamkan, polis semalam menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam penyebaran kenyataan berunsur hasutan dan ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri.
