LKIM teruskan reformasi demi nelayan Sarawak

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meneruskan usaha reformasi berteraskan 4P iaitu (Pulih, Progresif, Perkasa, Pintar) di Pulau Bruit, daerah Dato, bahagian Mukah Sarawak.

Semalam pengerusi LKIM, Faiz Fadzil telah memberikan sumbangan pukat, tong ikan berinsulasi dan jaket keselamatan serta sebuah enjin bot 15 kuasa kuda kepada seorang nelayan daif yang aktif Iskandar Jol.

Bantuan yang disediakan dengan peruntukan RM50,000 ini adalah untuk membantu beliau meneruskan aktiviti tangkapan ikan yang terbantut akibat enjin bot lama telah rosak.

Peruntukan sebanyak RM25,000 turut diberikan kepada dua nelayan di bawah Program Peningkatan Produktiviti Nelayan B40.

Pemberian sebegini mendorong nelayan lebih aktif untuk meningkatkan kecekapan, kemahiran. produktiviti dan pendapatan mereka.

“Saya mengingatkan nelayan dan persatuan nelayan memastikan tiada pelanggaran tatacara dalam pengendalian subsidi minyak dan insentif touchpoint yang menjurus kepada keciciran dan penyelewengan.

“Saya turut menekankan keperluan nelayan terutama persatuan nelayan menguasai semua nilai rantaian perniagaan perikanan termasuk bidang pemasaran, akuakultur dan hiliran supaya projek ekonomi dipelbagaikan untuk meningkatkan pendapatan dalam usaha menaik taraf sosio-ekonomi nelayan melalui agenda 1P1P (1 Persatuan 1 Produk).

“Justeru, PNK Bruit menumpukan pemasaran ikan sebagai projek ekonomi Utama,” kata Faiz.

Bantuan untuk nelayan Pulau Bruit

Selaras dengan halatuju reformasi sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk membina jeti nelayan.

Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bruit yang terdiri daripada 1,588 ahli turut menjalankan projek jualan minyak petrol melalui system kontena mudah alih (PCS) Rovr dengan kerjasama daripada Petronas.

Ia memudahkan nelayan luar bandar membeli minyak petrol dan menjimatkan kos operasi kerana lokasi berhampiran pangkalan nelayan Bruit.

Kebajikan nelayan Pulau Bruit turut diambil peduli oleh LKIM.

Seramai lebih kurang 1,220 orang penerima elaun sara hidup dan 527 vessel menikmati subsidi minyak dengan 451 vessel bagi Zon A (petrol) dan diesel pula melibatkan 46 (Zon A), 13 (Zon B/ dan 53 (Zon C) bagi diesel.

Aktiviti perikanan di Bruit juga disokong dengan 1 buah vessel C2.

Sebanyak 51 buah rumah nelayan telah dibaikpulih di bawah Program Khas Perumahan Nelayan (2012-2024).

Pada tahun ini sahaja sebanyak 10 rumah dibaikpulih dan sebuah rumah baru telah dibina.

Perumahan penempatan semula nelayan Semop, Tanjung Manis telah dijalankan membabitkan 270 rumah.

Bantuan di bawah Tabung Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan telah diberikan kepada lima nelayan.

Masing-masing menerima RM1500.

Seramai tiga orang anak nelayan cemerlang pula masing-masing memperoleh RM150 di bawah bantuan Pendidikan PNK Bruit.

Sumbangan Sarawak di dalam sektor perikanan

Nelayan di Pulau Bruit adalah sebahagian daripada nelayan di Sarawak yang menangkap 33,717 metrik tan ikan pada tahun lalu.

Jumlah ini adalah jumlah keenam tertinggi dalam negara.

Menurut Faiz jumlah ini perlu dipertingkatkan . Tambahan pula terdapat dua pelabuhan perikanan mega iaitu Pelabuhan Perikanan LKIM Tg Bako (PPLTB) dan Pelabuhan Perikanan LKIM Tg Manis (PPLTM).

Langkah ini penting dalam agenda keterjaminan makanan dan kadar kecukupan ikan di dalam negara.

BACA JUGA: Faiz puji RMK13, suntikan tepat untuk sektor perikanan negara