KLIA kini lapangan terbang kedua paling sibuk di Asia Tenggara tinggalkan Indonesia
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di Asia Tenggara, meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa di Jakarta, Indonesia yang berada di tempat ketiga.
Menurut data terbaharu OAG Aviation, penyedia analisis perjalanan global yang berpusat di United Kingdom, Malaysia mencatatkan kira-kira 3.32 juta tempahan tempat duduk setakat September ini.
Bernama melaporkan, terdapat pertambahan aliran trafik penumpang di KLIA yang meningkat sekitar 7.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Lapangan Terbang Changi di Singapura pula mengekalkan kedudukan teratas dengan 3.58 juta tempat duduk yang ditempah
Pengarah Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Narentheren Kaliappen berkata, pencapaian KLIA itu lebih daripada sekadar statistik kerana ia mencerminkan pemulihan dan pertumbuhan menyeluruh Malaysia sejak pandemik.
“Aliran trafik penumpang di KLIA menggambarkan peningkatan kemasukan pelancong ke Malaysia sekali gus menunjukkan momentum yang kukuh dan tahap keyakinan yang semakin meningkat.
“Syarikat penerbangan kini memperluaskan laluan mereka melalui Malaysia dan semakin banyak pelancong memilih KLIA bukan sahaja sebagai tempat transit tetapi juga sebagai hab destinasi,” katanya memetik Bernama.
Sementara itu, Narentheren memaklumkan bahawa Malaysia merekodkan kira-kira 27 juta pelawat antarabangsa pada 2024 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 31 juta tahun ini iaitu peningkatan 15 peratus.
Beliau berkata, pertumbuhan itu meletakkan asas kukuh kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) oleh kerajaan yang menyasarkan kedatangan 45 juta pelawat dan pulangan sebanyak RM270 bilion.
BACA JUGA Malaysia berjaya dapatkan semula RM39 juta aset berkait Jho Low