MHO desak tindakan tegas terhadap Skim Pelaburan Pulangan Sewa Terjamin (GRR) tidak sah

FOTO BERITA: Serahan Memorandum oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) kepada Ibu Pejabat SSM mengenai skim GRR rugikan pembeli-pembeli rumah di KL Sentral, Kuala Lumpur. 10hb September 2025 (Rabu)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyeru pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar mengambil tindakan segera terhadap syarikat-syarikat yang menawarkan skim pelaburan Pulangan Sewa Terjamin atau Guaranteed Rental Return (GRR) secara tidak sah.

MHO yang ditubuhkan sejak 2016, komited memperjuangkan hak asasi manusia termasuk melalui bantuan guaman kepada mangsa penipuan skim pelaburan. Berdasarkan aduan yang diterima, seramai 69 pemilik unit hartanah telah menjadi mangsa manipulasi skim GRR, melibatkan nilai keseluruhan pembelian sebanyak RM46,070,208.66.

Menurut MHO, skim GRR yang diperkenalkan sejak awal 2000-an sering menjanjikan pulangan sewa tinggi antara 8 hingga 12 peratus setahun, jaminan pembelian semula unit, serta pulangan keuntungan berkala tanpa perlu penglibatan pengurusan daripada pelabur. Namun, hasil siasatan panel guaman MHO mendapati skim tersebut tidak dikawal selia oleh mana-mana agensi penguatkuasaan, sekali gus mendedahkan pelabur kepada risiko besar.

“Mangsa mendakwa syarat GRR tidak dimasukkan ke dalam perjanjian jual beli, malah apabila isu dibangkitkan, pihak syarikat hanya memberi jawapan umum tanpa sebarang pengesahan terperinci,” kata Dato’ Hishamuddin

MHO menegaskan, berdasarkan nasihat perundangan, konsep pelaburan GRR memenuhi ciri-ciri skim kepentingan di bawah Seksyen 4(2) Akta Skim Kepentingan 2016. Justeru, SSM disaran bertindak segera bagi melindungi hak pengguna daripada dieksploitasi syarikat tidak bertanggungjawab yang menjadikan skim ini sebagai jalan meraih keuntungan dengan mengorbankan pelabur.

Mengulas rekod kes sebelum ini, MHO merujuk laporan The Edge Malaysia pada 2009 yang mendedahkan kebanyakan syarikat GRR hanya beroperasi sebagai shell company sebelum mengisytiharkan penggulungan sukarela (voluntary winding up) bagi mengelak tanggungjawab.

“Para mangsa menaruh harapan tinggi agar pihak berkuasa bukan sahaja menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya, malah memastikan langkah pencegahan dilaksanakan supaya skim pelaburan berisiko ini tidak terus menjerat lebih ramai pelabur pada masa hadapan,” tegasnya di sidang media
