Anwar terima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025 sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau menjadikan Malaysia peneraju kewangan Islam dunia.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pengerusi Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2025, Prof Humayon Dar dalam satu majlis berprestij hari ini.
Untuk rekod, Anwar merupakan Perdana Menteri kedua menerima anugerah ini selepas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Antara penerima lain sebelum ini juga termasuklah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni.
Anwar berkata, beliau bangga menjadi sebahagian daripada komuniti perbankan dan kewangan Islam.
Beliau menegaskan bahawa penghargaan tersebut bukanlah untuk dirinya semata-mata, sebaliknya mewakili seluruh barisan wira di sebalik tabir yang bekerja keras, berkorban masa dan tenaga demi memastikan sistem kewangan Islam berkembang.
“Apa jua sumbangan kecil yang saya lakukan, pengiktirafan ini sebenarnya adalah untuk mereka yang telah berkhidmat, berkorban, dan memberikan dedikasi yang jauh lebih besar daripada diri saya.
“Anugerah ini sebenarnya adalah milik para perintis, aktivis, sarjana, ahli akademik, pemikir dan penggerak yang telah membina asas kukuh kewangan Islam sejak awal lagi,” katanya ketika berucap.
BACA JUGA Rakyat kreatif guna bantuan SARA buat modal bisnes kecil kecilan