Exco Armada kecewa dengan agenda ulangan di PAT Bersatu
Exco Armada Bersatu Meor Naqiuddin Shamsudin telah meluahkan rasa kekecewaannya berhubung Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang diadakan beberapa hari lalu.
Ini kerana sejak 2023, PAT Bersatu mengetengahkan agenda yang sama yang tertumpu kepada presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PAT Bersatu tahun ini menyaksikan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali mengeluarkan kenyataan media berhubung kedudukan Muhyiddin sebagai presiden parti dan calon perdana menteri.
“Jujur kata, saya tidak ada sedikit pun masalah dengan usul tersebut. Tetapi ia adalah sesuatu yang begitu mengecewakan, menyedihkan dan melucukan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kerana apa? Kerana pentas PAT yang sepatutnya mengangkat aspirasi, dasar dan sasaran parti bagi dijadikan penilaian oleh rakyat telah bertukar menjadi pentas bagi membodek.
Meor turut menyenaraikan agenda ulangan yang ditimbulkan selama tiga tahun berturut-turut.
“Sudah 3 kali berturut-turut pentas PAT Bersatu dijadikan pentas sandiwara drama yang sehingga kini tidak berkesudahan. PAT 2023, usul utamanya meminta agar Tan Sri Presiden menarik balik hasrat tidak mempertahankan jawatan dan terus menjadi Presiden.
“PAT 2024 pula, usul utamanya meminta YB Tan Sri Presiden kekal sebagai Presiden sehingga PRU16 dan diangkat tarafnya dari Presiden ke Presiden Pengasas (walaupun tiada dalam Perlembagaan BERSATU).
“PAT 2025 kali ini, kita masih lagi membawa usul menyokong penuh kepimpinan YB Tan Sri Presiden serta mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri ke-11.
‘Angkat isu rakyat bukan isu pemimpin’
Meor menambah bahawa sepatutnya PAT Bersatu mengangkat isu – isu yang membelenggu rakyat, bukan pemimpin.
“Sepanjang 3 PAT ini, kisahnya semua sama tetapi dengan drama berbeza. Apa sudah jadi dengan peranan Bersatu kepada rakyat? Tidak pentingkah perihal mereka dimata kita?
“Punya banyak pembahas yang bercerita tentang hal berkaitan hati nurani rakyat, dari masalah berkaitan ekonomi, kehidupan sosial, tekanan akibat kenaikan kos sara hidup dan bermacam lagi, akhirnya tenggelam dek kerana satu usul yang penuh drama.
“Hal ini bukan sesuatu yang baik. Bagaimana rakyat ingin menilai kita jika satu-satunya usul yang menjadi sorotan utama adalah berulang kali berkenaan kuasa. Rakyat akan terus menilai Bersatu sebagai parti yang sedikit pun tidak cakna tentang mereka.
“Jadi saya ingin bertanya sekali lagi. Adakah dengan usul yang ada ini, kita dapat mengembalikan semula sokongan rakyat kepada kita dalam keadaan kita dilihat tidak bijak, tidak stabil dan tidak serius? Tepuk dada, tanya diri.”
BACA JUGA: Berpecah dalam Bersatu