‘Imam’ lempar selipar ke arah hakim antara ‘wira’ Kg Sungai Baru, rupanya ada kisah di penjara
Penyokong Pas, Hoslan Hussin yang juga dikenali sebagai ‘Imam’ Hoslan antara individu yang dilihat muncul semasa kekecohan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur siang tadi.
Dia pada 2012 pernah menggemparkan negara apabila melempar sepasang selipar ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan.
Aksi keterlaluan ‘Imam’ itu berlaku ketika prosiding permohonan kebenaran merayu berhubung kesnya dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Akibatnya, bapa kepada tujuh anak ketika itu dijatuhkan hukuman penjara selama setahun atas kesalahan menghina mahkamah.
Kemunculan ‘Imam’ Hoslan di lokasi operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru disamping pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim dilihat menarik perhatian ramai.
Mengislamkan banduan
Penolong Setiausaha dalam Parti Amanah Negara (AMANAH), Ustaz Ridzwan Abu Bakar berkata, ‘Imam’ Hoslan diangkat sebagai ‘wira’ oleh pewala Pas ekoran tindakan melempar selipar kepada hakim itu.
“Selepas dibebaskan dari penjara, dia (Hoslan) dijemput berkuliah.
“Dalam kuliah, dia menceritakan bahawa telah mengislamkan sejumlah banduan. Pihak Jabatan Penjara telah menafikan ‘khabar’ dan ‘riwayat’ tersebut!”, katanya.
Ustaz Ridzwan menambah dalam kebanyakan demonstrasi dan himpunan anjuran Pas, wajah Hoslan akan kelihatan.
“Selalunya ‘ungkapan’ yang keluar dari mulutnya akan berbobot ‘ghuluw’ tahap tinggi.
“Hari ini, dia antara ‘wira’ kesiangan yang ‘kononnya’ mempertahankan tanah Kampung Sungai Baru. Dan kerana itu, adalah aksi ‘ghuluw’ yang berlaku,” tulis beliau lagi di Facebook.
Dalam operasi pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru pagi tadi, tercetus kekecohan apabila beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran enggan berpindah dari kediaman masing-masing.
Akibatnya, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di bahagian muka ketika cuba menyuraikan penduduk yang merempuh kawalan polis untuk memasuki kawasan operasi.
Susulan itu, polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
BACA JUGA Padah fitnah Yang di-Pertua Negeri Sabah di FB, suri rumah didenda RM10,000