Larang penanaman ketum di bawah Akta Racun, kawal etomidate di bawah Akta Dadah Berbahaya

Seorang senator mahu pindaan dibuat terhadap Akta Racun dengan memasukkan peruntukan larangan penanaman ketum.

“Isu penanaman ketum masih belum ditangani secara menyeluruh dalam pindaan Akta Racun 2025.

“Akta ini hanya menghukum mereka yang memproses, mengedar dan menggunakan, tetapi tidak mempunyai peruntukan yang jelas untuk melarang penanaman ketum,” kata Senator Dr A Lingeshwaran dalam satu kenyataan.

“Kekosongan ini memberi ruang besar untuk dieksploitasi oleh pihak tertentu, sekali gus melemahkan penguatkuasaan undang-undang.

“Tanpa larangan penanaman, usaha membanteras sindiket akan terus terbantut, sementara masyarakat menanggung kesan sosial dan kesihatan yang serius.”

Beliau juga mahu etomidate yang diklasifikasi sebagai dadah terkawal di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1983 diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pada masa yang sama, kedudukan etomidate di Malaysia juga amat membimbangkan.

“Negara jiran Singapura telah mengambil tindakan tegas selepas mendapati satu daripada tiga cecair vape yang diuji mengandungi etomidate, yang turut dikaitkan dengan kemalangan jalan raya maut.

“Sebagai langkah proaktif, mereka telah mengklasifikasikan etomidate sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, berkuat kuasa 1 September 2025.

“Sebaliknya, Malaysia masih meletakkan etomidate di bawah Akta Racun 1952. Kawalan sebegini terlalu longgar memandangkan ancaman baharu jelas kelihatan melalui penyalahgunaan “Kpods” yang semakin menular di kalangan belia.

“Saya menggesa agar Kementerian Kesihatan segera meneliti semula status etomidate dan meletakkannya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, supaya kawalan lebih ketat dapat dilaksanakan dan pencegahan dapat diperkukuhkan.”

BACA JUGA: Exco Armada kecewa dengan agenda ulangan di PAT Bersatu