Majlis Budi Kirana ACE SPM, Suntik Semangat Pelajar B40 Hadapi SPM – Tengku Zafrul

FOTO BERITA: Majlis Kirana Budi ACE SPM anjuran Yayasan TZA disempurnakan oleh YB Datuk Seri Utama Tengku Zafrul. Hadir sama YB Datuk Rizam Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna Selangor di Dewan Idealian, SMK Ideal Height, Jalan Bukit Idaman, Batu Caves, Selangor. 11hb Sep 2025 (Khamis)

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini menyempurnakan Majlis Budi Kirana ACE SPM 2025, sebuah inisiatif Yayasan TZA yang memberi tumpuan kepada usaha membantu pelajar daripada keluarga B40, luar bandar serta sekolah yang mempunyai kepadatan murid tinggi.

Program ACE SPM 2025 disasarkan kepada 10 buah sekolah terpilih peruntukan sebanyak RM300,000 dengan matlamat meningkatkan pencapaian akademik pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Melalui program ini, para pelajar yang kurang berkemampuan diberikan sokongan berupa bantuan tuisyen, aktiviti pendidikan berfokus, serta modul intervensi bagi memperkukuh persiapan akademik mereka.

Menurut Tengku Zafrul, usaha sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar meningkatkan penguasaan pelajaran, malah ia adalah pelaburan jangka panjang dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara inklusif.

“Program ACE SPM 2025 ini adalah cerminan komitmen Yayasan TZA dalam memupuk semangat kecemerlangan akademik serta memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekangan kewangan atau faktor geografi,” ujar beliau.

Yayasan TZA yakin bahawa intervensi seperti ini dapat membantu meningkatkan keyakinan pelajar menghadapi peperiksaan penting serta memberi ruang lebih luas untuk mereka mengorak langkah ke menara gading dan masa depan yang lebih baik.