Padah fitnah Yang di-Pertua Negeri Sabah di FB, suri rumah didenda RM10,000
Padah membuat satu hantaran palsu dan berbaur fitnah terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah di laman Facebook,seorang suri rumah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini.
Asmaziah Sedek, 32, mengaku bersalah atas hantaran berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Julai lalu.
Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta memerintahkan wanita berkenaan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun, dia yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan tidak bekerja, selain suaminya baru mendapat kerja serta tinggal jauh daripadanya dan anak-anak.
“Saya harap hukuman denda saya diringankan kerana saya juga mempunyai anak berusia lapan bulan yang masih menyusu dan seorang anak yang bersekolah di sekolah rendah,” katanya, dipetik Bernama.
Asmaziah didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya menerusi akaun Facebook “Ash Qiey” dengan niat untuk mengganggu orang lain, pada 9.21 malam, 29 Julai lalu.
Setiausaha Perhubungan Yang Dipertua Negeri Sabah, Datuk Abdullah Hussin telah membaca hantaran komunikasi itu di kediaman Yang di-Pertua Negeri Sabah, Sri Anggerik, Luyang dekat Kota Kinabalu pada 10 pagi, 31 Julai.
BACA JUGA PM kecam serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, arah siasatan segera