Pemisahan kuasa Peguam Negara, pendakwa raya: DAPSY cadang pinda perlembagaan, pelantikan pendakwa raya bebas ekskutif

Dua pemimpin DAPSY yang menyambut baik pengumuman kerajaan ke arah pemisahan kuasa dan fungsi Peguam Negara dan pendakwa raya telah mencadangkan beberapa pindaan perlembagaan dibuat.

Mereka juga mencadangkan agar pelantikan Pendakwa Raya dibuat secara bebas daripada badan eksekutif.

“Langkah berani Kerajaan MADANI ini bukan sahaja menyuburkan semangat pemisahan kuasa (separation of powers), malah mengukuhkan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) yang menjadi asas Perlembagaan Persekutuan,” kata setiausaha kebangsaan DAPSY Lous Lim Chin Weng dan ketua biro dasar awam kebangsaan DAPSY Jason Ng Thien Yeong dalam satu kenyataan bersama.

Jason Ng juga ADUN Astaka. Kedua-dua mereka merupakan peguam.

“Reformasi ini juga menepati aspirasi rakyat Malaysia yang mahukan sebuah sistem keadilan yang benar-benar telus, adil dan bebas.

“Ia akan menjadi mercu tanda penting dalam agenda pembaharuan institusi negara, memastikan keadilan bukan sahaja dilaksanakan tetapi juga dilihat dilaksanakan.

“Untuk mencapai pemisahan kuasa ini, Kerajaan perlu menggubal pindaan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42, bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.

“Dengan pemisahan ini, kami mencadangkan bahawa perlantikan Pendakwa Raya yang akan datang haruslah bebas daripada badan eksekutif dan Pendakwa Raya selepas pemisahan kuasa tersebut bertanggungjawab kepada Parlimen Malaysia.

“Dengan itu, rakyat boleh diyakinkan bahawa sebarang keputusan pendakwaan dibuat secara bebas, tanpa campur tangan politik atau kepentingan eksekutif.”

Pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwaraya adalah satu inisiatif reformasi yang sudah lama dibangkitkan oleh pihak-pihak berkepentingan.

BACA JUGA: Exco Armada kecewa dengan agenda ulangan di PAT Bersatu