PM kecam serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, arah siasatan segera
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian.
Walaupun begitu, Perdana Menteri berkata, kebebasan tersebut perlu dijalankan dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi undang-undang.
Beliau berkata, prinsip kebebasan tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan tindakan melampau hingga mencetuskan kekacauan.
“Kerajaan telah konsisten menghormati pelbagai himpunan sebelum ini, tetapi prinsip kebebasan juga menuntut kita patuh pada hukum, adab dan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar turut mengecam keras insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab sehingga mencederakan penjawat awam berkenaan.
“Perbuatan ini adalah keji dan mesti dikecam. Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan serta memberkas dalang dan penyerang yang terbabit,” tegasnya.
Beliau mengingatkan bahawa kebebasan berhimpun tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan politik sempit hingga menimbulkan keresahan rakyat.
“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” ujar Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Keganasan di Kampung Sungai Baru: Polis tahan beberapa individu