Amaran buat Tun Faisal daripada pimpinan bahagian Bersatu

Ketua bahagian Bersatu Pendang Abdul Razak Khamis telah memberikan amaran kepada Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz agar tidak merosakkan hubungan Bersatu – Pas.

Tun Faisal juga dinasihatkan agar mengikut arahan pimpinan parti.

“Saya bergelumang dengan rakan-rakan komponen setiap hari, terutama dengan PAS. Saya harap rakan-rakan komponen PN, terutama PAS, tidak berkecil hati kerana bagi saya semua komen itu adalah pandangan peribadi Tun Faisal sahaja,” kata Razak yang juga ialah Timbalan Speaker DUN Kedah dan Adun Sungai Tiang.

“Ini sama seperti usul yang dia bawa dalam PAT, yang mana saya difahamkan tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat MPT Bersatu.

“Komen-komen Tun Faisal yang berbunyi ugutan kepada sesama ahli juga amat tidak membantu usaha memperkukuh parti.

Razak mengingatkan Faisal agar tidak memberikan gambaran buruk kepada Bersatu mulutnya yang celupar.

“Sebagai orang lama dalam parti, saya berpandangan lebih baik isu dalaman dikekalkan sebagai perbincangan dalaman dan secara keluarga.

“Saya nasihatkan Tun Faisal agar jangan melanggar arahan yang sebegitu jelas dengan komen-komen yang mengundang perpecahan.

“Jangan juga kerana mulut kamu seorang yang celupar rakan-rakan komponen menganggap Bersatu sudah bongkak dan takbur.”

Ketua penerangan Bersatu tersebut turut diingatkan bahawa jawatan yang dipegangnya itu bukan berdasarkan pemilihan parti.

“Ingatlah jawatan yang kamu pegang ini hanyalah jawatan lantikkan. Kamu tidak sehebat yg kamu rasa.

“Jaga sikit mulut kamu sebab kami yang membina parti ini. Kamu itu terlalu mentah dalam Bersatu.”

BACA JUGA: Exco Armada kecewa dengan agenda ulangan di PAT Bersatu