Dilema seorang peguam di Kampung Baru
OLEH MEGAT SYAZLEE MOKHTAROM
Akar keluargaku di Kampung Bharu bukan sekadar sejarah ,ia darah daging. Dan dengan hubungan itu datang satu amanah yang berat: aku menjadi peguam kepada keluarga sendiri, dan kepada ramai pemilik tanah di kawasan ini.
Tugasan aku kelihatan mudah di atas kertas, pastikan tanah warisan ini dijual dengan harga yang berpatutan.
Tetapi realitinya, perjuangan aku bukan berdepan pemaju. Bukan dengan agensi kerajaan.
Musuh terbesar aku adalah sesuatu yang lebih licik dan berbahaya: impian palsu yang ditanam selama bertahun-tahun, dan janji manis politikus yang memperdagangkan harapan.
Harga Mimpi Yang Tak Masuk Akal
Udara di Kampung Bharu penuh dengan sejarah, dan penuh dengan harapan. Tapi harapan itu telah bertukar menjadi khayalan kolektif.
Politikus datang silih berganti, berbisik janji-janji RM2000 hinga RM 4000,sekaki, angka yang tak pernah pun muncul dalam penilaian rasmi JPPH.
Tapi mereka tahu, impian itu sedap didengar. Ia buat rakyat rasa tanah mereka emas, dan sesiapa yang bercakap tentang realiti akan dilihat sebagai pengkhianat.
Dan itulah yang terjadi pada aku.
Aku tunjuk fakta, penilaian rasmi antara RM450 hingga RM500 sekaki. Aku bawa kes-kes lampau.
Aku bentangkan Akta Pengambilan Tanah. Tapi nasihat berasaskan undang-undang itu dianggap hina. Aku digelar “anjing pemaju”, “perompak”, malah dituduh menjual kampung sendiri.
Yang menyedihkan, orang yang kata begitu… adalah orang kampung aku sendiri.
Kebenaran Yang Tidak Popular
Aku tak marah. Aku faham. Dalam dunia yang sentiasa merugikan orang kecil, mereka mahu percaya ada sesuatu yang luar biasa menanti.
Tapi aku tak dibayar untuk menjual mimpi. Tugasku ialah menyediakan strategi undang-undang yang realistik dan mampu bertahan dalam sistem.
Dan kebenarannya sangat pahit: bila kau menolak tawaran yang baik kerana percaya ada tawaran ‘lebih baik’ yang tak pernah wujud, kau bukan melawan ,kau sedang berjudi. Dan perjudian itu akhirnya memusnahkan banyak keluarga.
Tragedi Kampung Sungai Baru: Dari Rundingan ke Pengusiran
Apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru adalah tragedi moden ,satu amaran kepada semua yang terlalu percaya mimpi.
Tahun-tahun lalu, pemaju tampil dengan tawaran luar biasa: pampasan tunai dan unit-unit rumah moden, mencecah nilai RM8.1 juta bagi satu lot. Majoriti penduduk terima.
Tapi segelintir enggan. Mereka yakin tanah mereka boleh dapat lebih ,lebih tinggi dari tawaran pemaju, lebih tinggi dari realiti pasaran.
Dan bila rundingan gagal, pemaju menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Mahkamah menetapkan harga berdasarkan penilaian rasmi kerajaan: RM450 ke RM500 sekaki. Jauh lebih rendah dari apa yang pernah ditawarkan sebelum ini.
Dari Mahkamah ke Jalanan
Hari ini, mereka yang melawan, yang paling lantang, yang paling percaya mereka sedang berjuang untuk nilai sebenar hartanah mereka , akhirnya menjadi mangsa keadaan.
Tiada lagi pampasan berjuta. Tiada lagi rumah baru. Yang tinggal hanya wang tunai yang tidak setimpal… dan satu notis pengusiran.
Dan bila rumah mereka dirobohkan, bila polis datang, bila tangisan bertukar jadi jeritan ,ia bukan lagi soal nilai tanah.
Ia jadi soal maruah yang tercalar. Tapi maruah itu tidak dicuri. Ia tergadai oleh keputusan silam, dipandu oleh mimpi yang dijual oleh orang-orang yang tidak akan tinggal pun di sini.
Kesimpulan: Siapa Sebenarnya Yang Menghancurkan Kampung Kita?
Dalam naratif politik, pemaju dan kerajaan sentiasa jadi penjahat.
Tapi dalam realiti yang aku lihat dengan mata sendiri, musuh sebenar adalah jangkaan yang tak masuk akal, dan pemimpin yang memanipulasi warisan demi undi.
Kampung Bharu tak musnah kerana pemaju. Ia musnah kerana masyarakatnya sendiri dihasut untuk menolak rundingan yang adil, demi mengejar ilusi.
Ia musnah kerana lebih ramai percaya cakap orang politik berbanding peguam sendiri. Jadi sewaktu kau berguling-guling. Membaling batu dan berteriak di tengah jalan.
Mana saudagar-saudagar air liur yang menjanjikan impian tu? Adakan mereka akan jamin kau keluar penjara? Atau kau nak cari peguam “anjing pemaju” ni datanf jamin kau.
BACA JUGA Kg Sungai Baru: Konsep persetujuan majoriti boleh dipakai demi kemaslahatan – Mufti Perlis