Gimik tunggang tiga motosikal dalam dewan tanda Pemuda Pas tidak cakna
Aksi tiga pemimpin Pemuda Pas Pusat menunggang motosikal memasuki dewan pada muktamar sayap parti tersebut hari ini mengundang kritikan dan sindiran orang ramai.
Menerusi empat foto dikongsikan Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Pemuda Pas itu dilihat menunggang RXZ berwarna kuning.
Ia disusuli dua motosikal lagi yang masing-masing ditunggang timbalan, Hafez Sabri serta naibnya, Hanif Jamaluddin.

Hafez juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (ADUN) Manjoi di Perak manakala Hanif pernah tumpas di tangan Datuk Seri Amiruddin Shari ketika berebut kerusi N16 Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
“Rasa macam photographer ambik gambar salah angle.
“Nampak saiz RXZ kuning ni kecik sikit dari yang duk follow tu. ‘Kan?” tulis Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Bagaimanapun, gimik menunggang motosikal dalam dewan tertutup dilihat gambaran sikap pemimpin muda Pas yang tidak cakna isu kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
‘Persembahan’ Pemuda Pas terbabit juga menggambarkan kedangkalan pemikiran pelapis parti pembangkang itu dalam isu berkaitan pembebasan karbon dan perubahan iklim.
Walaupun jumlah karbon dari tiga motosikal terbabit lebih rendah berbanding kenderaan di jalan raya, simbolik aksi pemimpin Pemuda Pas itu dilihat kuat.
Ia seolah-olah menolak usaha dunia dan kerajaan Madani yang sedang berusaha mengurangkan pelepasan karbon melalui teknologi hijau dan kenderaan elektrik.
Dalam masa sama, sikap tidak cakna Pemuda Pas juga dilihat dari segi semangat patriotik apabila tidak turut membawa Jalur Gemilang selain bendera Palestin.
BACA JUGA Pemuda Pas mahu partinya tampilkan calon PM, apa kata Bersatu?