Rupanya 321 individu, 1,033 syarikat selamba tidak bayar cukai hampir RM17 bilion
Sebanyak 321 kes ketidakpatuhan membayar cukai oleh individu dikesan dengan nilai mencecah RM1.75 bilion, antara 1 Januari 2024 sehingga 31 Ogos tahun ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut mengesan terdapat 1,033 syarikat dengan nilai cukai tertunggak sebanyak RM15.2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM16.95 bilion.
Menerusi kenyataan media hari ini, LHDN memaklumkan dapatan itu merupakan hasil analisis risiko percukaian secara komprehensif yang membolehkan pengesanan ketidakpatuhan cukai dalam pelbagai sektor.
Selain itu, menurut LHDN, ia diikuti pelaksanaan audit dan siasatan berdasarkan sumber maklumat dan teknologi analitik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin, kejayaan itu adalah hasil gabungan pendekatan berasaskan data, penggunaan teknologi terkini serta kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan.
Ia telah memperkukuh keupayaan LHDN dalam melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.
Sehubungan itu, Tariq menasihati pembayar cukai agar tidak menunggu sehingga ketidakpatuhan mereka dikesan melalui audit atau siasatan, yang akan menyebabkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
BACA JUGA `Jom Cari Menu Rahmah’ bantu promosi makanan dengan harga berpatutan