AMH kecam ugutan bunuh penyokong PN, tuduhan Pemuda Pas berniat jahat
Angkatan Muda HARAPAN (AMH) mengecam keras budaya politik melampau yang semakin menular, termasuk ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri oleh sebahagian penyokong Pas baru-baru ini.
Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, semua pihak perlu mengecam perbuatan biadab tersebut khususnya pihak Pas serta Perikatan Nasional (PN).
“Walaupun dilakukan oleh penyokong, tindakan seperti ini sangat berbahaya kerana jika mereka sanggup mengugut Perdana Menteri, tidak mustahil sesiapa sahaja termasuk ayah dan ibu kita yang dimusuhi turut terancam,” katanya.
Beliau berkata, membiarkan ia berlaku tanpa bantahan hanya akan menormalisasi budaya politik ugutan dan kekerasan.
“Semua pihak, tanpa mengira parti, harus menolak budaya politik ganas sebegini demi keselamatan dan keharmonian negara,” tegasnya.
Tidak berasaskan fakta
Dalam masa sama, AMH turut membidas tuduhan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang cuba mengaitkan kekecohan di Kampung Sungai Baru dengan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang jelas bermotif politik dan tidak berasaskan fakta.
Ammar berkata, pada hakikatnya, proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru diwartakan pada 21 Jun 2021 di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960), Ketika PN memegang tampuk kuasa dan portfolio menteri berkenaan.
Malah, ujarnya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pernah menuntut penjelasan daripada pihak yang terlibat ketika itu.
“Oleh itu, Pemuda Pas sepatutnya mendesak pemimpin PN sendiri untuk bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut, bukannya menuding jari kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, AMH juga kesal dengan sikap Pemuda Pas yang tidak membela pegawai polis yang cedera dilontar batu ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru.
Tegasnya yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, kebebasan berhimpun memang dijamin tetapi tidak boleh dijadikan alasan untuk mencederakan mana-mana anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas.
“Kenyataan songsang dan cubaan mengapi-apikan sentimen perkauman hanya membuktikan kegagalan mereka sewaktu berkuasa dahulu, dan kini cuba menutupinya dengan politik fitnah,” katanya.
Sehubungan itu, ujarnya, AMH menegaskan bahawa tuduhan Pemuda Pas berhubung isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.
“Rakyat Malaysia wajar menolak politik ugutan, fitnah, serta perpecahan kaum demi kestabilan dan kesejahteraan negara,” tambahnya.
BACA JUGA Iktiraf negara Palestin: Malaysia antara 142 negara undi sokong resolusi PBB