Ini sebabnya peguam keluarga Zara minta tangguh sementara semua perhimpunan

Semua bentuk perhimpunan aman berkait isu kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir diminta supaya ditangguhkan sementara hingga prosiding inkues kes terbabit selesai.

Pasukan peguam mewakili keluarga Zara memaklumkan bahawa permintaan mereka itu adalah selaras dengan hasrat ibu arwah, Noraidah Lamat, 45.

“Kami memohon supaya semua pihak berhati-hati ketika memberi kritikan serta komen dalam media sosial mengenai prosiding inkues itu dan bukti-bukti yang dikemukakan.

“Ini penting bagi mengelak risiko subjudis dan gangguan dalam perjalanan prosiding inkues berkenaan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Menurut kenyataan pasukan peguam itu, inkues kes kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu telah membabitkan enam saksi hingga kini, dan pihak mereka berpuas hati dengan perjalanan prosiding setakat ini.

Kenyataan bersama itu terdiri daripada kumpulan peguam dibarisi oleh Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Dalam masa sama, barisan peguam itu sedia maklum bahawa beberapa individu telah didakwa di mahkamah atas ucapan pada perhimpunan atau komen dalam media sosial berkaitan gelombang ‘Justice For Zara’.

“Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan atau nama Zara dicemari tindakan pihak tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan pengamal undang-undang terbabit.

BACA JUGA Gimik tunggang tiga motosikal dalam dewan tanda Pemuda Pas tidak cakna