PJRM Mega Hari Malaysia Pahang Tawar Harga Rahmah, Ringankan Beban Rakyat

FOTO BERITA: Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Mega Hari Malaysia peringkat Negeri Pahang anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berlangsung meriah di Tapak Hadapan Pasar Nelayan Pantai Sepat, Kuantan, pahang. 13hb September 2025 Sabtu (Gambar: UKK KPDN)

Program selama dua hari bermula 13 hingga 14 September itu diadakan dengan kerjasama strategik dua operator PJRM serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, menawarkan lebih 100 barangan keperluan asas dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Antara barangan yang mendapat sambutan pengunjung termasuk daging segar dijual pada harga RM25 sekilogram, ayam segar antara RM10 hingga RM11 seekor, serta telur ayam gred B pada harga RM9.50 sepapan. Selain itu, beras, sayur-sayuran, minyak masak 5kg, tepung, biskut, bawang, rempah ratus, bihun, sardin, kicap dan barangan penjagaan rumah turut ditawarkan dengan harga mampu milik.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh berkata program ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya. “Sehingga 12 September 2025, KPDN Negeri Pahang telah melaksanakan PJRM di 1,012 lokasi merangkumi 14 parlimen dan 42 DUN. Ini termasuk 379 kali di dalam premis, dua kali di luar premis, tujuh kali PJRM@Kampus, lapan kali di pasar, serta 616 kali secara bergerak,” katanya.

Dalam usaha menggalakkan kehadiran pengunjung, KPDN Negeri Pahang turut mengedarkan insentif e-dompet bernilai RM20 kepada 1,500 pengunjung terawal pada hari ini dan esok. Selain itu, Fuziah turut berkesempatan menyampaikan zakat wakalah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada 127 penerima asnaf di Pantai Sepat, Kampung Sepat dan kawasan sekitarnya.

“Semoga sumbangan ini membantu meringankan beban golongan asnaf, di samping memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” tambahnya.