Terbongkar sudah identiti 7 suspek cetus provokasi ganas di Kampung Sungai Baru

Polis mendedahkan tujuh suspek yang ditahan selepas disyaki mencetuskan provokasi di Kampung Sungai Baru kelmarin dipercayai ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata, seorang daripada mereka juga ketua pertubuhan itu.

Beliau berkata, pihaknya masih mengenal pasti motif semua suspek terbabit yang menyaksikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di bahagian kepala.

“Saya sahkan kita menahan ketua kepada sebuah pertubuhan serta ahlinya selepas disyaki terbabit dalam insiden kekecohan dan melakukan provokasi semasa proses pengosongan kediaman dilakukan.

“Pada masa ini, kita tidak dapat mengesahkan sama ada pertubuhan ini mempunyai kaitan dengan elemen samseng atau jenayah kekerasan sehingga siasatan selesai,” katanya pada sidang media, tengah malam tadi.

Fadil berkata, ada antara mereka yang ditahan turut didapati mempunyai rekod kesalahan seperti terlibat dalam rusuhan.

“Kita sedang siasat semua perkara berdasarkan keterangan dan soal siasat terhadap suspek yang ditahan ini,” kata beliau lagi.

BACA JUGA AMH kecam ugutan bunuh penyokong PN, tuduhan Pemuda Pas berniat jahat