Calon PM Pas semua duduk atas lori rosak brek, tayar pancit – Mahfuz balas Pas

AMANAH mengkritik kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin kononnya parti itu mampu mencari tiga atau empat lori calon Perdana Menteri seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilabel sebagai pemimpin yang “naik kapal terbang pergi mesyuarat sana sini”.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak mencermin akhlak Islam malah membuktikan bahawa Pas gagal memahami bahawa jawatan Perdana Menteri bukanlah pertandingan menunjuk nunjuk calon atau konvoi lori tanpa arah.

“Pas cakap mereka ada tiga, empat lori calon PM. Masalahnya, semua calon tu duduk atas lori yang rosak brek, tayar pancit dan tak tahu arah nak pergi.

“Lori banyak, tapi hala tuju negara kosong. Rakyat tak perlukan karnival calon PM, rakyat perlukan kepimpinan yang stabil dan ada wawasan,” katanya.

Terdahulu, Hashim Jasin ketika berucap pada Muktamar Ulama Pas di Kedah, beliau berkata, setakat Perdana Menteri seperti Anwar, Pas boleh mencari calon PM sehingga tiga atau empat lori seperti itu.

Beliau menyebut tentang pemimpin yang hanya naik kapal terbang dan bermesyuarat sana sini.

Kenyataan Hashim itu dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini dikritik pembangkang kerana melakukan lawatan rasmi ke luar negara.

Sementara itu Mahfuz berkata, jika benar Pas mempunyai “lori lori calon Perdana Menteri”, realitinya sejak sekian lama satu lori pun tidak pernah sampai ke Putrajaya.

Katanya, ia kerana lori-lori tersebut adalah lori calon lembu brahman untuk pertandingan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan.

“Yang sampai hanyalah lori penuh janji kosong, retorik agama untuk undi, dan politik kebencian yang tidak membawa apa apa manfaat kepada rakyat, ibarat seperti lori sampah yang membusuk.

“Pas boleh terus berbangga dengan “lori calon” mereka. Namun rakyat tahu, Anwar Ibrahim dipilih bukan kerana kuantiti, tetapi kerana kualiti kepimpinan, pengalaman dan kemampuan untuk menyelamatkan negara selepas kegagalan kerajaan terdahulu yang turut disertai Pas,” ujarnya lagi.

Pada masa sama Mahfuz berkata, beliau berharap muktamar penuh Pas yang ke-71 yang akan bermula hari ini akan dapat memuktamad nama calon PM dari Pas.

“Kerana Pas begitu marah bila Bersatu mencalonkan Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Calon PM dari Bersatu.

“Jika Muktamar gagal menamakan, ini bermakna Pas tidak mempunyai kelayakan calon yang memenuhi syarat yang dinyatakan oleh Datuk Nik Amar Naib presiden Pas bahawa syarat nak jadi PM jangan gila,” katanya lagi.

BACA JUGA 31 soalan dan jawapan mengenai Pembangunan Semula Kampung Sg Baru