Pemuda Pas patut letak nama Shahidan, Annuar dalam pasukan sokong pengambilan tanah

Peguam Zulhazmi Shariff membidas Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) kerana tidak melakukan kajian terlebih dahulu dalam isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru sebelum membuat cabaran untuk berdebat.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menegur fakta dari Pemuda Pas yang menamakan tiga individu termasuklah Khalid Samad kononnya bersetuju dengan Akta Pengambilan Tanah di Kampung Sungai Baru.

Sedangkan kata Zulhazmi, Khalid adalah antara individu yang tidak bersetuju dengan akta tersebut dan pernah membawa isu berkenaan ke Parlimen.

“Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan sepatutnya buat kajian dulu, baca dengan teliti sebelum nak cabar orang. Jangan tunjuk bodoh pada seluruh alam,” katanya dalam satu kenyataan balas di laman Facebook beliau.

Beliau mengulas hantaran Facebook Dewan Pemuda Pas WP yang menamakan tiga individu sebagai pasukan “melawan akta pengambilan tanah” dan tiga individu dalam pasukan “bersetuju pengambilan tanah”.

Ia menamakan Rafidah Ibrahim, Muzaffar (penyelidik undang-undang hartanah) dan Fauzi (landskap arkitek dan aktivis) sebagai pasukan bantah akta tersebut.

Sementara Khalid, Abdul Hadi Ahmad (Pemaju KL City Gateaway) dan penduduk disenarai dalam kategori pasukan yang sokong akta tersebut.

Susulan itu Zulhazmi menegaskan, individu yang wajar dimasukkan ke dalam senarai mereka yang “setuju pengambilan tanah” ialah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Datuk Seri Shahidan Kassim; Datuk Idris Ahmad dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerana mereka merupakan anggota Jemaah Menteri ketika keputusan pengambilan tanah dibuat.

Beliau turut menyatakan, Khalid Samad tidak sepatutnya diletakkan dalam senarai terbabit kerana beliau yang membawa Usul 18(1) di Dewan Rakyat untuk membantah pengambilan tanah itu yang kemudiannya dijawab oleh Shahidan Kassim pada 13 Disember 2022.

“Sepatutnya pasukan setuju pengambilan tanah itu dia letak nama Annuar Musa sebab pengambilan tanah dibuat semasa Annuar Musa menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.

“Masuk juga nama Shahidan Kassim kerana Shahidan pertahan pengambilan tanah semasa menjawab Usul 18(1) di Dewan Rakyat pada 13/12/2022 (rujuk Penyata Rasmi Parlimen) yang dibawa oleh Khalid Samad.

“Tidak ada seorang pun penduduk atau pemilik tanah setuju dengan pengambilan tanah. Yang ada ialah penduduk setuju dengan pembangunan semula dan memasuki perjanjian usahasama (JV) dengan pemaju,” katanya lagi.

BACA JUGA Ugutan video seks AI – Najwan Halimi pemimpin PKR keempat terima ugutan