GISSCO rai 50 tahun kecemerlangan dengan pelancaran identiti korporat baharu

FOTO BERITA: Majlis Makan Malam Gala GISSCO 50 Tahun Jubli Emas bersama Mohd Khoirul Kamal Mohd Rashid Managing Director di W Hotel Kuala Lumpur. 15hb September 2025 (Isnin)

Gissco Sdn Bhd, tonggak utama sektor minyak dan gas Malaysia serta syarikat pembekal tenaga kerja Bumiputera pertama berlesen PETRONAS (Lesen 001), meraikan ulang tahun ke-50 dengan penuh gemilang melalui Gissco 50th Years Anniversary Gala Dinner di Hotel W Kuala Lumpur, malam ini. Acara bersejarah itu bukan sahaja memperingati lima dekad kepimpinan industri, malah turut menyaksikan pelancaran identiti korporat baharu syarikat, penyampaian Anugerah Jasa Setia kepada warga kerja setia, serta pengimbauan sejarah penubuhan yang menandakan peranan Gissco sebagai perintis dalam industri tenaga negara.

Dalam majlis tersebut, Gissco melancarkan logo baharu yang menggambarkan evolusi, ketahanan dan aspirasi masa depan syarikat. Logo berbentuk bujur melambangkan kesinambungan dan kestabilan, manakala gradasi emas berkilau menjadi simbol prestij, kejayaan serta “Golden Legacy” yang diraikan pada jubli emas ini.

Tipografi moden berasaskan potongan geometri menekankan komitmen syarikat terhadap inovasi dan transformasi digital, sementara tulisan “SINCE 1975” mengangkat warisan Gissco sebagai pelopor industri minyak dan gas Malaysia.

Majlis turut memberi penghargaan kepada 11 warga kerja melalui Anugerah Jasa Setia (Long Service Awards) sebagai tanda penghormatan terhadap dedikasi mereka,.

Pengarah Urusan, Mohd Khoirul Kamal Rashid, dalam ucapannya berkata, “Jubli emas 50 tahun adalah bukti komitmen teguh serta bakat luar biasa dalam organisasi kami. Kesebelas individu ini, dan seluruh warga kerja Gissco, adalah arkitek sebenar perjalanan kami daripada status perintis kepada kepimpinan berterusan.”

Beliau turut menegaskan bahawa kesetiaan warga kerja bukan sahaja mengukuhkan pencapaian syarikat, malah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara melalui kecemerlangan berterusan dalam sektor minyak dan gas.

Majlis gala ini turut menyingkap perjalanan penubuhan syarikat oleh Tuan Haji Mohammad Rashid pada tahun 1975 dengan dorongan ayah beliau, Haji Mohd Fahmi Vatsaloo, seorang bekas pekerja Shell. Bermula dengan perkhidmatan katering dan pembekalan makanan, Gissco berkembang ke bidang pembekalan tenaga kerja, perkhidmatan khusus serta memperkenalkan perkhidmatan slickline pada tahun 1989 yang menjadi teras legasi syarikat.

Sambutan ini menjadi isyarat jelas hasrat Gissco untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri minyak dan gas Malaysia dengan memacu inovasi, mengekalkan kecemerlangan operasi serta membina warisan gemilang untuk masa hadapan.