Nak ‘gegar’ Pulau Pinang? DAP tak goyah, rekod DAP lebih kukuh dari retorik Pas
OLEH A. ZAHID
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menegaskan rekod pencapaian DAP di Pulau Pinang jauh lebih kukuh berbanding retorik yang dibawa oleh Pas, susulan kenyataan parti itu bahawa mereka akan menyambut ulang tahun ke-75 dengan tujuan untuk “menggegarkan DAP” di negeri tersebut.
Menurut Syerleena, kepimpinan negeri ini sepatutnya diukur melalui pencapaian dan bukannya slogan politik yang kosong.
“Kata-kata penuh keangkuhan ini mungkin menarik perhatian media, namun di Pulau Pinang kepimpinan itu diukur melalui pencapaian sebenar, bukannya retorik atau omong-omong kosong,
“Jika Pas percaya mereka mampu mempengaruhi atau menang hati rakyat Pulau Pinang hanya dengan slogan, maka mereka sebenarnya silap menilai kematangan politik di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menekankan bahawa rakyat Pulau Pinang mahukan pekerjaan, peluang ekonomi, keselamatan, serta kualiti hidup yang baik, bukannya drama politik yang berpanjangan.
Tambahnya, di bawah pentadbiran DAP, Pulau Pinang berjaya membina reputasi sebagai “Lembah Silikon Timur” dengan menarik pelabur antarabangsa, khususnya dalam industri semikonduktor dan teknologi, sekali gus mencipta ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Selain itu, Pulau Pinang juga mencatatkan lebihan belanjawan secara konsisten, menunjukkan pengurusan kewangan negeri yang berhemah.
Kejayaan ini, katanya, membolehkan lebih banyak dana disalurkan untuk pembangunan negeri termasuk bidang kesihatan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan awam.
Syerleena turut mencabar Pas agar membentangkan cadangan lebih baik jika benar-benar ingin menyaingi DAP di negeri itu.
“Bagaimana anda akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berbanding pelaburan teknologi yang berjaya kami bawa masuk? Bagaimana anda akan menguruskan kewangan negeri dengan lebih baik daripada lebihan belanjawan yang telah kami capai?” soal beliau.
Katanya lagi, demokrasi memerlukan persaingan yang sihat, tetapi ia harus berlandaskan kemampuan berkhidmat kepada rakyat, bukan sekadar siapa paling lantang menjerit. “Pulau Pinang tidak akan goyah hanya dengan bising, kerana asas negeri ini terbina atas keringat, pengorbanan dan semangat rakyatnya sendiri,” tegas beliau.
BACA JUGA Rakyat Indonesia terkejut macam mana kerajaan Malaysia boleh bagi RM100 kepada rakyat