Pas terima dana PRU dari Bersatu? Sanusi jawab dakwaan bekas pegawai Mahiaddin

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil menjawab dakwaan Datuk Dr Marzuki Mohamad mengenai pembiayaan dana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diberikan Bersatu kepada Pas.

Memetik Berita Harian, Sanusi meminta supaya Marzuki menjelaskan lebih lanjut kepada siapa sebenarnya duit itu diberikan.

“Tanya dia, dia bagi kat siapa duit tu?” katanya menurut BH Online.

Terdahulu, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Pas mendakwa parti komponen PN banyak bergantung kepada jentera parti dan kewangan Pas untuk bertanding dalam pilihan raya.

Menteri Besar Kedah itu ketika penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-71 semalam berkata, ada parti yang “mai bertanding syok saja” dan dibantu oleh Pas.

Susulan itu Marzuki yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin tampil membidas Sanusi, mendedahkan bahawa Bersatu telah banyak mengeluarkan perbelanjaan pilihan raya, termasuk memberi sumbangan kewangan kepada Pas.

Beliau mendakwa semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN ketika itu disediakan Bersatu, sekali gus membantu Pas meraih kemenangan 43 kerusi Parlimen.

BACA JUGA Sesi ‘londeh melondeh’ Pas, Bersatu dah mula – Lokman