Sekiranya Amerika terus membisu terhadap kekejaman Israel, ini tindakan yang AMANAH sarankan
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Raja Kamarul Bahrin Shah berkata bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menggesa Sekretariat ASEAN dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan pelawaan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghadiri siding kemuncak ASEAN pada hujung bulan Oktober sekiranya Amerika kekal membisu terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel.
“Kalau Amerika tidak buat apa-apa kita akan buat bantahan melalui Sekretariat ASEAN, Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk batalkan pelawaan kepada Trump yang dijadualkan ke KL pada 26-28 Oktober.”
Beliau berkata demikian setelah menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat berhubung serangan Israel ke atas Doha, Qatar baru-baru ini.
Pemimpin AMANAH itu berkata Amerika sekurangnya perlu mengecam dan mengenakan sekatan ke atas Israel.
“Kita menghantar bantahan kerana tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas kekejaman Israel.
“Pertamanya mereka sekurang-kurangnya patut tegur atau beri kecaman yang hebat ke atas kezaliman Israel.
“Qatar ialah negara yang jadi timbangtara antara Hamas dan Israel. Kalau mereka dipanggil untuk rundingan oleh Presiden Trump, kenapa mereka dibom dan dibunuh?
“Kedua Amerika sekurang-kurangnya adakan satu sekatan seperti yang diadakan ke atas mana-mana negara yang langar kedaulatan negara lain. Ini pun tidak berlaku.”
Beliau turut memberikan tempoh waktu seminggu untuk Amerika bertindak terhadap Israel.