Dr Dzulkefly ingatkan peraturan merokok 3 meter dari kedai masih berkuatkuasa

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan orang ramai bahawa peraturan merokok sejauh tiga meter dari meja terakhir premis masih berkuatkuasa.

Tidak menafikan hak perokok untuk merokok, beliau meminta untuk tetap menghormati hak pengunjung lain untuk menikmati makanan tanpa asap rokok, khususnya kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas.

Beliau memberi respon sedemikian susulan aduan dibuat seorang pengguna X yang mendakwa telah berlaku satu pertengkaran selepas seorang wanita hamil lapan bulan menegur seorang lelaki merokok di restoran.

“Insiden merokok di Shah Alam yang dimuatnaik dalam ciapan @SyedAkramin amat membimbangkan. Ia satu kesalahan jelas di bawah Akta 852, Seksyen 16(2), yang menggantikan PPKHT (Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau dalam Akta Makanan (Akta 281). 

“Benar seperti ramai katakan (termasuk dari @malaysianmedic1), a law is only as good as it is enforced.”

“Namun, adalah mustahil untuk pegawai penguat kuasa untuk sentiasa berada di setiap premis makan, pada setiap masa,” katanya di X.

Namun begitu, sepanjang 12 bulan yang lalu, @SIPKKM telah melaksanakan langkah penguatkuasaan yang agak baik bagi memastikan undang-undang dikuatkuasakan sebaik mungkin.

Sebanyak 19,175 operasi dijalankan di seluruh negara dengan lebih 50 operasi setiap hari. 101,521 notis kesalahan dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM11.45 juta.

“Undang-undang dan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kesihatan awam adalah tanggungjawab bersama; “We need ALL hands on the deck”

“Pemilik dan pekerja premis makanan mesti memainkan peranan menegur pelanggan yang merokok di premis.

“PBT & komuniti juga ada tanggungjawab tersendiri bagi memastikan pematuhan akta,” tambah beliau.

Sementara itu orang ramai boleh terus membuat aduan melalui #JomLapor, WhatsApp 010-8608949, atau Talian 03-8892 4530.

BACA JUGA Keadaan terkini Masjid Kristal kotor, tak terjaga cetus tanda tanya