Dua gabungan dah terkubur, PN pula mulai tenat – ahli Pas
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki mengingatkan parti itu supaya segera mencari jalan menyelamatkan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan sedang menuju fasa penamat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, sepanjang 10 tahun lalu Pas membentuk tiga gabungan politik iaitu Gagasan Sejahtera (Gagasan), Muafakat Nasional (MN) dan PN, namun dua telah berkubur manakala satu lagi “sudah mulai tenat”.
“Dalam tempoh 10 tahun, PAS telah membentuk tiga gabungan politik, GAGASAN, MN dan PN. Dua telah berkubur, satu sudah mulai tenat,” katanya di Facebook.
Sementara itu Mohd Zuki, berkata, sebagai individu yang terlibat secara langsung dengan kerjasama Gagasan dan MN, beliau melihat sendiri di hadapan mata bagaimana kedua-dua gabungan politik itu berkubur.
Untuk menyelamatkan MN, sehingga beberapa minggu terakhir sebelum penamaan calon PRU15, beliau sendiri dan sahabat-sahabat meneruskan usaha berbincang dengan pimpinan utama UMNO supaya MN menjadi front hadapi PRU15.
Bagaimanapun, akhirnya ia berkubur juga.
“Meskipun, pada awalnya selera saya kurang dengan PN berbanding MN dan Gagasan sebelum ini, saya tetap teguh mendukung keputusan parti masuk PRU16 bersama PN.
“Pengalaman saya melihat APU terbubar, dan merasai sendiri pengalaman PR, GAGASAN dan MN runtuh, apa yang berlaku kepada PN sekarang sedang menuju kepada fasa penamat,” katanya.