Emas Paralimpik Paris: Hannah Yeoh desak MPM hargai jasa Liek Hou
OLEH A. ZAHID
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan tindakan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou adalah tidak wajar dan menimbulkan kekeliruan awam.
Menurut beliau, isu berkenaan bukan soal disiplin atlet tetapi berpunca daripada kelewatan pihak MPM sendiri menunaikan janji hadiah wang kemenangan yang dijanjikan selepas kejayaan Liek Hou merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.
“Penaja hadir kerana mahu menyokong dan meraikan kejayaan atlet, bukan hanya menaja MPM. Ini bukan cara kita melayan atlet yang telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia. Liek Hou seorang atlet rajin, setiap kali bertanding beliau membawa pulang pingat untuk negara,” kata Hannah dalam satu kenyataan media.
Hannah menambah, Cheah Liek Hou berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Oleh itu, MPM tidak berhak bertindak sendirian terhadap kedudukan atlet tersebut.
Cheah Liek Hou sebelum ini mencipta sejarah sebagai atlet para pertama negara memenangi pingat emas di Tokyo 2020, dan sekali lagi mengulangi kejayaan dengan mempertahankan emas dalam kategori SU5 di Paris 2024.
Atas pencapaian itu, kerajaan serta pihak penaja telah menjanjikan hadiah wang tunai sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau.
“Kelewatan menunaikan janji bukan kesalahan atlet. Liek Hou hanya menuntut hak yang telah dijanjikan kepadanya,” jelas Hannah.
Beliau turut menyeru semua pihak menghormati jasa dan pengorbanan atlet negara yang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, serta memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin.