Guna MyKad beli RON95: Ini JPN perlu buat

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta supaya mempermudahkan proses penggantian MyKad rosak bagi mengelakkan kesesakan di kaunter susulan pelaksanaan subsidi minyak RON95 secara bersasar tidak lama lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting kerana MyKad akan menjadi dokumen utama pengesahan rakyat Malaysia sebelum melakukan sebarang pembelian bahan api tersebut di stesen minyak.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias supaya pihaknya dapat memastikan proses penggantian MyKad rosak dipermudahkan bagi mengelakkan kesesakan di pejabat pendaftaran.

“JPN sedang usahakan proses penggantian MyKad siap dalam masa 30 minit sahaja.

“Itu perlu dihebahkan supaya orang ramai tidak bimbang,” katanya.

Saifuddin berkata demikian selepas merasmikan Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani Jabatan Penjara di Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Muda, Kedah hari ini.

Beliau berkata, keperluan MyKad amat kritikal kerana terdapat lebih dua juta transaksi minyak berlaku setiap hari di lebih 4,000 stesen di seluruh negara.

Jelasnya, rakyat diminta supaya segera menyemak cip MyKad masing-masing sama ada berfungsi dengan baik atau tidak sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.

“Bayangkan sebelum ini, kita beli minyak tidak perlu MyKad. Sekarang wajib sebab itu saya ingatkan semua rakyat supaya semak cip MyKad lebih awal, jangan tunggu sehingga hari pelaksanaan baru tahu kad rosak.

“Kalau 30,000 orang tidak dapat beli minyak pada hari pertama subsidi dilaksanakan, mereka akan marah,” katanya.

Tambah beliau, JPN kini merekodkan kira-kira 1,000 kes penggantian MyKad rosak setiap hari, bersamaan 30,000 sebulan atau 360,000 setahun.

BACA JUGA Pas hantar wakil jumpa Anwar, Zahid, kata Asyraf Wajdi