Tak serik mudir di Kelantan dicekup kes amang seksual terhadap pelajar lelaki

Dicekup buat kali ketiga. Itu dialami seorang mudir berusia 46 tahun di sebuah pondok, di Tumpat yang disiasat berkait kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajarnya.

Lapor Kosmo! memetik sumber, suspek ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang remaja berusia 16 tahun yang merupakan pelajar di madrasah tersebut.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Terdahulu, lelaki berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, 11 September lalu.

Dia berdepan tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.

Mudir itu membayar jaminan sebanyak RM45,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Semalam, suspek itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.

Suspek membayar ikat jamin sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

BACA JUGA Kecoh logo Maybank dipasang di Menara Merdeka 118