Graduan ILKBS sumbang pingat di WorldSkills ASEAN 2025, angkat nama Malaysia

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 Tahun 2025 oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan di Dewan Utama, Bangi Avenue Convention Center (BACC), Kajang Selangor. 20hb September 2025 (Sabtu)

Lebih 3,200 graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Ke-20, sekali gus menandakan satu detik bersejarah dalam usaha membangunkan modal insan negara berasaskan kemahiran.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, dalam ucapannya menegaskan bahawa diploma dan sijil yang diterima para graduan bukan sekadar tiket untuk mencari pekerjaan, sebaliknya adalah “senjata untuk mencipta kerja, membina peluang dan membuka jalan kepada orang lain.”

Menurut beliau, kejayaan ILKBS adalah selari dengan agenda transformasi TVET MADANI, yang memacu ekonomi berasaskan kemahiran, memanfaatkan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automotif kenderaan elektrik (EV), serta memberi ruang kepada belia lepasan sekolah, belia tahfiz, OKU hingga suri rumah.

“Kalau ada yang masih bertanya, adakah TVET benar-benar laluan masa depan? Jawapannya ada pada pencapaian anda semua,” katanya sambil merujuk kejayaan kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan WorldSkills ASEAN 2025 di Manila, yang turut menyaksikan sumbangan pingat daripada graduan ILKBS.

Antaranya ialah Wan Nur Amilya (IKBN Kemasik) yang meraih emas dalam Hairdressing, Muhammad Amar (IKBN Wakaf Tapai) – perak dalam Welding, serta Kairul Amer (IKTBN Dusun Tua) – Medallion for Excellence dalam Electrical Installations. Kejayaan ini mengukuhkan lagi reputasi graduan ILKBS selepas pencapaian membanggakan di WorldSkills Lyon, Perancis 2024, membuktikan mereka bukan sahaja layak diiktiraf dalam negara malah mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Graduan Diploma Teknologi Mekanikal Pembuatan (Plastic Injection Moulding) dari Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, Hammar Arsyad Mohd Bakri, dinobatkan sebagai Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan ILKBS 2025 pada Istiadat Konvokesyen ILKBS Ke-20 hari ini.

Sepanjang pengajian, Hammar Arsyad turut mengharumkan nama ILKBS apabila meraih Pingat Perak WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2023 dalam bidang Plastic Die Engineering, selain pernah menerima Medallion of Excellence pada 2022. Pada 2024, beliau berperanan sebagai pembantu jurulatih dalam bidang Additive Manufacturing hingga membimbing peserta junior memenangi pingat emas kebangsaan.

Sehingga kini, kadar kebolehpasaran graduan ILKBS mencecah 97 peratus, mengatasi sasaran asal, sekali gus memperkukuh keyakinan bahawa TVET adalah laluan masa depan belia Malaysia.

Lebih membanggakan, ILKBS turut melaksanakan Program Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas di beberapa institut terpilih, yang telah melahirkan kisah kejayaan pelatih sebagai artis, usahawan dan tenaga kerja profesional.

Dalam ucapannya, menteri turut mengingatkan graduan agar mengutamakan sahsiah diri, disiplin dan integriti serta menjauhi gejala tidak sihat seperti dadah, rokok dan vape.

“ILKBS bukan sekadar institusi latihan. Ia adalah kilang masa depan Malaysia. Setiap graduan yang lahir daripadanya adalah bukti bahawa negara ini sedang bergerak ke hadapan, bersedia menjadi kuasa kemahiran di rantau ini,” ujarnya.

Majlis kemuncak konvokesyen ini diakhiri dengan perasmian rasmi Istiadat Konvokesyen ILKBS Ke-20 Tahun 2025 dengan tema “Graduan ILKBS: Menepati Keperluan Industri”.