KPDN gagalkan cubaan seleweng diesel, sita lebih 11,500 liter
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan kegiatan menyeleweng 11,500 liter diesel di sebuah tapak pembinaan di Jalan Changkat Jong.
Menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, serbuan yang dilakukan pada jam 2.40 petang semalam adalah hasil risikan dan pemantauan selama seminggu terhadap aktiviti penyelewengan serta ketirisan barang kawalan di kawasan berkenaan.
Hasil serbuan menemui sebanyak 11,500 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam sebuah skid tank.
“Ketika serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang mengaku sebagai penyelia tapak gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan ketika diminta oleh pasukan penguat kuasa.
“Pemeriksaan lanjut ke atas tapak pembinaan tersebut mendapati pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 11,500 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam sebuah skid tank.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 11,500 liter, sebuah lori, dan sebuah skid tank dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM140,200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika melibatkan individu.
KPDN menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah akan diambil.
BACA JUGA Lalat pun pening dengan Pas ini, kata AMANAH Kelantan