Pahang setuju haramkan Ahli Majlis PBT sertai tender, perolehan
Mesyuarat kerajaan negeri Pahang bersetuju dengan syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu diharamkan menyertai tender atau perolehan di agensi masing-masing.
Syor itu dikemukakan SPRM Pahang dalam satu sesi pembentangan khas bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada 7 Ogos lalu.
Pada pembentangan itu, isu utama yang dibincangka adalah berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja Ahli Majlis dalam proses pemilihan tender dan kontrak.
Maka satu cadangan penambahbaikan dikemukakan bagi memperkukuh aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan itu.
“Cadangan khidmat nasihat ini dilaksanakan berikutan satu siasatan yang dijalankan oleh SPRM Negeri Pahang pada tahun 2022 mengenai isu dikatakan berlaku salah guna kuasa oleh Ahli Majlis PBT di Pekan.
“Namun selepas siasatan dilakukan mendapati tiada sebarang kesalahan rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku.
“Tetapi SPRM mendapati terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam sistem serta prosedur pengurusan perolehan atau tender dengan dilaksanakan penyiasatan tatakelola,” kata Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud.
Menerusi perbincangan itu, Ahli Majlis bagaimanapun dibenarkan menyertai pelawaan tender yang ditawarkan di PBT lain.
BACA JUGA Sengketa Pas Bersatu petanda perpecahan Perikatan Nasional, menurut penasihat AMANAH