Pemimpin PKR gesa Annuar Musa tanggungjawab, perjelas isu Kg Sg Baru
Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman menggesa bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk memberi penjelasan dan bertanggungjawab terhadap kemelut yang berlaku di Kampung Sungai Baru.
Ini kerana katanya, kelulusan pewartaan akta pengambilan tanah berlaku ketika pemimpin Pas itu berkuasa.
Katanya, Annuar Musa perlu menjelaskan bagaimana Akta Pengambilan Tanah boleh diwartakan pada Jun 2021 sedangkan ketika itu negara masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Parlimen juga tidak bersidang
“Adalah pengecut jika beliau terus mendiamkan diri sedangkan aktivis-aktivis pembangkang terus digerakkan untuk menyerang Kerajaan Madani dalam isu ini.
“Adalah agak pelik sekiranya menteri tidak mengetahui tentang pewartaan ini seperti mana yang dijelaskan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim yang menuding jari ke arah Ketua Setiausaha Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Badli berpendapat, tentunya setiap tindakan eksekutif terlebih lagi melibatkan pewartaan akta tertentu akan dilaporkan terlebih dahulu ke peringkat menteri untuk dibawa ke pengetahuan Kabinet.
Justeru soalnya, bagaimana seorang menteri boleh berlepas diri dengan menyalahkan eksekutif sedangkan eksekutif hanya menjalankan tugas tanpa boleh melangkaui kuasa menteri.
“Pembangkang juga perlu berhenti menggunakan watak-watak tertentu dengan merekayasa naratif bertujuan menyalahkan Kerajaan Madani kerana kemelut ini jelas berpunca ketika Kerajaan Perikatan Nasional memerintah.
“Saya menggesa TanSri Annuar Musa untuk tampil beri penjelasan dan bukannya terus menerus mendiamkan diri seperti seorang pengecut,” katanya lagi.
BACA JUGA Cubaan seludup ratusan ribu pil yaba ke Malaysia tumpas di Sungai Golok