Sengketa Pas Bersatu petanda perpecahan Perikatan Nasional, menurut penasihat AMANAH
Persengketaan di antara Bersatu dan Pas yang bermula dengan pencalonan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai calon perdana Menteri Perikatan Nasional sehingga isu pendanaan pilihan raya yang tercetus semasa muktamar Pas ke-71 merupakan petanda bahawa Pas akan berpecah keluar daripada Perikatan Nasional.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan usaha Mahiaddin mewujudkan pakatan longgar dengan parti-parti pembangkang kecil di luar PN.
“Pakatan longgar yang diumumkan oleh Mahiaddin belum diputuskan oleh PN. Mereka belum ada keserasian. Ini petanda bahawa pakatan mereka akan pecah.
“Hadi ini (berpakat) tak lebih dari dua penggal,” kata penasihat Parti AMANAH Nasional Datuk Ahmad Awang
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Harapan Daily semalam sempena sambutan sedekad penubuhan AMANAH yang akan diadakan pada 4 Oktober di Stadium Titiwangsa.
Beliau menambah bahawa realiti politik kini ialah perlunya pakatan politik.
“Politik sekarang ada dua (pakatan) sahaja. BN mesti bersama Pakatan Harapan.
“Di belah sana pakatan yang longgar macam mana nak perintah? Nanti mereka akan berebut jawatan alam kerajaan dan GLC. Mereka mahukan jawatan saja.
“Hutang negara akan bertambah. Bajet akan meningkat dengan peningkatan gaji awam dan penyelarasan pencen. Ini melibatkan pertambahan berbilion ringgit.
“Pakatan yang longgar akan pecah berebut jawatan (sekiranya membentuk kerajaan).
“Mereka akan banyakkan menteri dan ekonomi dunia juga dijangka suram. Kerajaan yang ada sekarang tahu apa yang perlu dibuat. Anwar berani mengurangkan belanja dan menambahkan kemudahan untuk rakyat.
Peningkatan bilangan menteri telah pun dilaksanakan ketika Mahiaddin membentuk kerajaan tebuk atap sebelum ini.
Keyakinan beliau berkenaan perpecahan PN juga adalah disebabkan oleh rekod Pas dalam mengadakan kerjasama politik dengan parti politik lain.
Beliau mengimbau kerjasama yang dibuat oleh Pas sejak 1990 bila Pas bekerjasama dengan parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.
“Kerjasama dengan Semangat 46 pecah dalam penggal kedua. Kemudian dengan DAP dalam tahun 1999 juga begitu. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengusahakan Barisan Alternatif yang menyatukan Pas, PKR dan DAP.
“Pas turut main putar belit di dalam Muafakat Nasional dengan Umno. Sekarang pula dengan Bersatu di dalam PN.
Berhubung isu pendanaan parti, Datuk Ahmad Awang yakin bahawa bekas parti beliau itu tidak mempunyai dana yang cukup untuk bertanding di seluruh negara.
“PN beri wang kepada mereka. Pas mana ada wang bertanding seluruh negara.
“Sewaktu zaman (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) Pas diberi wang untuk bertanding oleh Najib. Perkara itu didedahkan oleh Clare Rewcastle Brown,” kata beliau merujuk kepada editor laman berita Sarawak Report.
Tindakan mahkamah oleh Hadi terhadap Brown mengakibatkan Pas terpaksa membayar Brown RM1.4 juta pada 2019.
Pandangan Datuk Awang Ahmad selari dengan pendedahan bekas ketua setiausaha sulit Mahiaddin Yassin, Dr Marzuki Mohamad.
Datuk Ahmad Awang turut berkata bahawa ketidakpuashatian Pas terhadap Bersatu juga berpunca daripada tindakan Bersatu yang membolot jawatan di peringkat pimpinan PN.
Hanya jawatan bendahari diberikan kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Samsuri bagaimanapun telah meletakkan jawatan tersebut.
Berbalik kepada isu menghalal dan mengharamkan tindakan sekutu, Datuk Ahmad Awang berkata bahawa sudah menyucikan parti pembangkang seperti MAP pimpinan P Waythamoorthy dan Urimai pimpinan P Ramasamy atas dasar kebersamaan menentang kerajaan zalim.
Kadar membohong rasuah pun begitu juga. Ini kaedah Pas. Rasuah dikatakan sebagai sedekah.
Ia menjadikan imej Islam tercemar.
Beliau menyatakan bahawa presiden Pas Tan Sri Hadi Awang telah berjaya membodohkan pengikut parti itu.
“Siapa jadi pandai bila sertai Pas akan jadi bodoh, otak dipajak. Doktrin Pas berjaya membodohkan pengikut.
“Pas ialah Hadi, Hadi ialah Pas sekarang.”