Tular jagung ‘scam’ beli dari Cameron Highlands

Seorang pengguna media sosial, Nor Aini, mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan ketika membeli jagung di kawasan pelancongan popular Tanah Tinggi Cameron di Pahang.

Menerusi catatan di Facebook, Nor Aini berkata beliau membeli jagung pulut berwarna ungu yang dijual pada harga RM20 bagi empat tongkol.

Menurutnya, penjual terbabit memberitahu jagung itu adalah gred A dan hanya terdapat setahun sekali.

Namun, ceritanya, selepas direbus, warna ungu pada jagung itu luntur manakala rasanya sama seperti jagung biasa.

“Saya beli nak rasa, sekali rebus air jadi warna ungu, jagung biasa je,” tulisnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli hasil tani di Cameron Highlands.

Langkah waspada itu, ujarnya, agar pengunjung tidak terpedaya dengan taktik peniaga yang didakwa cuba mengaut keuntungan dengan cara tidak jujur.

Cameron Highlands sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan beriklim sejuk dengan pelbagai hasil tanaman seperti jagung, strawberi dan sayur-sayuran yang sering dijadikan buah tangan pelawat.

Setakat ini, pihak berkaitan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

BACA JUGA Dikecam ‘gila’ iPhone, rupanya hadiah untuk ibu